HomeIPTBuletin IPTPerkasa pendidikan negara, kerjasama bersama dua universiti di Turkiye termeterai

Perkasa pendidikan negara, kerjasama bersama dua universiti di Turkiye termeterai

Bagi memperkasakan lagi pendidikan negara melalui aktiviti pengantarabangsaan khususnya dalam bidang akademik dan penyelidikan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalinkan kerjasama dengan dua universiti di Turkiye.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Ts Dr Azme Khamis, dua universiti tersebut ialah Istanbul Medipol University (IMU) dan Ankara Medipol University (AMU).

“UTHM akan bekerjasama dengan IMU dan AMU yang melibatkan aktiviti penyelidikan dalam bidang saintifik dan teknologi, mobiliti staf akademik, staf pentadbiran dan pelajar; perbincangan, simposium serta ceramah saintifik dan teknologi.

“Kerjasama itu turut melibatkan pertukaran serta perkongsian penemuan akademik, penerbitan dan informasi pendidikan, peluang staf AMU menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UTHM dan lain-lain kerjasama yang akan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. 

“Sehubungan dengan itu, diharapkan jalinan kerjasama antarabangsa seumpama ini dapat merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik, penyelidikan dan inovasi serta penerbitan di universiti ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan dalam sistem pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UTHM dengan kedua-dua universiti itu telah diadakan pada 7 Julai lalu bertempat di Presidential Palace, Presidential Complex, Ankara. 

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden Republik Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Rektor AMU, Profesor Dr Ahmet Zeki Şengil.

Artikel berkaitan

Berjaya pada usia muda, ini rahsia dua gadis universiti dalam perniagaan online

KPM terus perkasa ekosistem pendidikan negara – Radzi Jidin

Perubahan dunia pendidikan negara, PPPTMM bersedia beri komitmen pada KPM

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok