Untitled design (5)
Untitled design (5)

Berjaya pada usia muda, ini rahsia dua gadis universiti dalam perniagaan online

Roshlawaty Md Raieh
13 Jul 2021 12:05pm
A
A
A

Hari ini, platform Instagram (IG) dilihat memainkan peranan penting bagi individu yang ingin menjana pendapatan sampingan dengan perniagaan secara dalam talian.

Ini diakui sendiri oleh mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Izzati Rasyidah Sahawal yang kini menjadi usahawan berjaya dengan jualan pewangi Hedo Air Freshener.

Dia yang memulakan promosi secara kecil-kecilan menerusi IG Izzatirsydh dan Hedo.mastermind, tidak menyangka kehidupannya berubah 100 peratus hanya kerana IG.

“Ketika cuti semester pada Januari sebelum ini, saya tiada sebarang aktiviti untuk dilakukan. Waktu itu saya banyak menghabiskan masa melayari IG.

“Dari situlah saya lihat banyak promosi tentang pewangi Hedo ini dan terdetik di hati untuk menjadi ejen sambil menambah duit poket. Alhamdullilah semuanya berjalan lancar,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Bermodalkan RM300 duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Nur Izzati berjaya mendapatkan 50 unit pewangi yang dijual pada harga RM10 seunit.

“Sebenarnya saya malu nak berniaga walaupun secara online. Tapi keluarga sentiasa bagi sokongan. Kata mereka, jika malu sampai bila hendak berjaya.

“Dengan kata-kata semangat yang mereka berikan, saya cuba ubah diri daripada pemalu kepada berani.

“Saya promosikan pewangi dalam IG, Facebook: Izzati Rsydh dan Tiktok: Izzatirsydh. Tak sangka, permintaannya sangat luar biasa sehingga saya berjaya menjadi stokis,” kata anak kepada pasangan Sahawal Abdullah dan Zailani Abd Rahman ini lagi.

Sejak menjadi stokis, pelajar jurusan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, ini mula mengorak langkah.

Pelbagai perancangan diatur dan dia bersama pasukan berusaha bersungguh-sungguh mempromosikan produk tersebut.

“Kami bersengkang mata. Dalam masa yang sama, saya belajar siapkan tugasan dan macam-macam perkara kena fikir.

“Tapi saya jadikan semua ini sebagai cabaran dalam perniagaan online. Mana mungkin kita dapat meraih kejayaan jika tiada usaha,” tuturnya lagi yang berjaya mencapai jualan sebanyak lima angka sebulan sepanjang bergelar stokis.

Susulan kejayaannya itu, Nur Izzati telah dilantik sebagai Leader Stokis walaupun baru beberapa bulan menyertai perniagaan dalam talian tersebut.

“Tak sangka begini cepat saya dilantik menjadi Leader Stokis. Keluarga adalah orang pertama yang menangis dengan kejayaan ini,” beritahunya yang pernah menerima Anugerah Dekan sebelum ini.

Nur Izzati memberitahu, kejayaannya pada hari ini bukanlah semudah yang disangkakan.

“Saya seorang pelajar dan dalam masa yang sama saya juga berniaga online. Bila ada pelanggan hendak membeli produk, saya akan naik Grab dan hantar kepada mereka.

“Ada juga saya pos produk menggunakan Grab yang sama. Memang susah dan kadangkala pernah juga berputus asa, tapi saya tetap teruskan,” sambung anak keempat daripada enam beradik ini.

Bersama keluarga yang banyak menyokong penglibatan Nur Izzati dalam perniagaan tersebut.

Setelah pelbagai cabaran dilalui, Nur Izzati kini mampu tersenyum lebar kerana dalam usia muda, dia berjaya membeli sebuah kereta hasil daripada berniaga dalam talian.

“Selain daripada kereta, saya juga berjaya membeli telefon impian, iPhone. Semuanya guna duit hasil jualan pewangi ini.

“Tak lupa, setiap bulan saya hulurkan duit kepada ibu bapa di kampung. Alhamdullilah, Allah permudahkan segala urusan dalam bisnes online ini,” katanya.

Akhir sekali, gadis cantik ini turut menasihatkan semua pelajar universiti supaya mencari bakat dan kemahiran dalam diri untuk berjaya pada masa akan datang.

“Produk semakin banyak di pasaran. Anda boleh pilih yang mana satu untuk dijual. Cuba dahulu dan jangan malu. Jika kita berani, kita akan nampak hasil yang memang tidak disangka-sangka,” jelasnya.

Popia pisang Rollcrunch

Sementara itu, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Ashiqin Aruzi, yang baru berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian berkata, cabarannya sangat banyak.

“Selain terpaksa menyiapkan produk pada hujung minggu, saya juga perlu membahagikan masa untuk belajar.

“Keutamaan kepada pelajaran, jadi saya hanya mengambil tempahan pada hujung minggu sebab tidak mahu pelajaran terganggu,” ulasnya yang menjalankan perniagaan popia pisang jenama Rollcrunch.

Pelajar jurusan Fiqh dan Fatwa ini yang kini menetap di rumah sewa di Nilai, Negeri Sembilan berkata, promosi produk popia pisangnya itu turut dijalankan menerusi IG Ashiqinaruzi dan _rollcrunch.

Set Family Box popia pisang berharga RM16 (kiri) dan Set Single Box RM7.

“Pelanggan saya kebanyakan datang daripada IG. Ada juga yang pesan menerusi aplikasi whatsApp. Tak kurang juga ada yang membuat tempahan menerusi kawan-kawan yang sudah biasa beli dengan saya,” ujar anak ketiga daripada lima beradik ini lagi.

Sebagai usahawan dalam talian, Nur Ashiqin juga tidak dapat lari daripada berdepan cabaran.

“Paling tak boleh lupa bila popia pisang yang dibuat tak menjadi hingga terpaksa batalkan tempahan pelanggan. Rasa kecewa sangat sampaikan saya hampir putus asa dan mahu berhenti daripada bisnes ini.

Ahmad Atif iaitu rakan Nur Ashiqin yang banyak membantu dalam urusan penghantaran popia pisang kepada pelanggan.

“Tapi bila difikir-fikir balik, benda macam ini memang selalu terjadi kepada peniaga online.

Jadi, saya teruskan juga hinggalah berjaya seperti sekarang,” katanya.

Seru Nur Ashiqin kepada mereka yang seusianya dan ingin berjaya dalam perniagaan agar tidak pernah berhenti untuk mencuba apa sahaja perkara baharu dalam hidup.

“Kalau rasa mahu berhenti, saya nasihatkan, fikir berkali-kali. Ini kerana, kegagalan dan kesilapan dalam perniagaan online akan jadikan kita usahawan yang berjaya satu hari nanti, percayalah,” akhirinya.

Artikel berkaitan 

Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan

(VIDEO) Menangis jumpa guru, tanda sayang Adele buat ramai peminat terharu

Pelajar raih Mumtaz dalam STAM 2021, jadikan solat sunat duha sebagai amalan wajib


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok