5
5

Seni dan peralatan muzik terapi meredakan tekanan dan emosi

Norliza WasilanNorliza Wasilan
02 Aug 2022 02:40pm

KUALA LUMPUR - Terapi peralatan muzik tradisional di negara ini yang mengggunakan buluh dan tempurung semakin mendapat tempat di Eropah terutama United Kingdom dan

Amerika Syarikat.

Bukan itu sahaja, terapi menggunakan batik juga semakin meluas diamalkan di negara terbabit bagi membantu meredakan tekanan, emosi dan meningkatkan keyakinan diri.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azizah Abdullah berkata, keunikan seni dan budaya tradisional di negara ini perlu terus dikembangkan bagi membolehkannya digunakan dalam konteks rawatan jiwa moden.

Tambah beliau, rawatan menggunakan pendekatan kreatif itu dapat membantu semua peringkat usia termasuklah kanak-kanak yang mengalami masalah berkenaan.

“Seni dan budaya tradisional perlu diberi nafas baru supaya tidak hanya berkembang dalam ruang lingkup penggiat seni saja, tetapi dapat diaplikasikan dalam konteks rawatan jiwa moden seperti kaunseling, psikologi, pembangunan sumber manusia, pendidikan, psikoterapi dan psikiatri.

“Rawatan ini disasarkan kepada sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak dan orang dewasa yang bersedia dan terbuka menggunakan pendekatan kreatif untuk kesejahteraan diri tanpa ada persepsi atau interpretasi daripada pihak yang membantu,” katanya pada Majlis Pelancaran Monograf Budaya Sembang Bukan Gebang (SBG) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.

Program tersebut yang dirasmikan oleh Sasterawan Negara Ke-14, Datuk Dr Siti Zainon Ismail turut memuatkan 16 bab hasil buah fikir budayawan, cendekiawan dan penggiat seni tanah air.

Kepakaran Dr Azizah dalam bidang terapi seni sebelum ini telah membolehkannya bekerjasama dengan professor dari Edge Hill University, Liverpool dan Jessica Kingsley Publishers United Kingdom dalam menerbitkan naskah berkaitan isu itu dalam era pandemik Covid-19 bersama penulis dari eropah, Amerika Syarikat, Australia, dan Kanada.

Sebelum ini, beliau juga pernah bekerjasama dengan King's College London dan Routledge untuk tujuan mengangkat penggunaan terapi seni Malaysia kepada pembaca global menerusi penerbitan naskah berkaitan bahan dan alam semulajadi.

Ujar Dr Azizah, sebelum ini dia juga kerjasama dengan Arts and Health Lead, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha untuk advokasi terapi seni dari perspektif Malaysia ke pentas dunia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terapi seni adalah kaedah kreatif dengan mencipta imej visual melalui contengan, melukis, mewarna, melakar, penulisan kreatif, tarian, muzik, nyanyian, drama, permainan dan berbagai bentuk ekspresi kreatif.

Tuturnya lagi, terapi seni digunakan secara meluas dalam disiplin kaunseling, psikologi, kerja sosial, pendidikan, pembangunan sumber manusia, perundingan, keibubapaan dan kesihatan mental di negara barat.

“Terapi seni adalah aktiviti dan proses kreatif yang boleh digunakan sebagai alat terapeutik untuk meneroka dan memahami, pengalaman hidup serta menyelami jiwa seseorang melalui simbol dan imej.

“Selain itu, dalam konteks seni dan budaya, terapi seni berfungsi sebagai medium yang dapat meredakan tekanan, mengurus, melegakan dan menyembuh kecederaan emosi, mengawal kemarahan serta membina keyakinan diri,” katanya.

Artikel berkaitan

Alumni UPSI berkumpul di Sabah sempena sambutan 100 tahun

Inilah anak-anak Malaysia yang genius! Hadiahkan 6 anugerah untuk negara. Luar biasa

UMK perkenal Menu Food Basket Siswa Keluarga Malaysia berharga RM3.50


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp