Bergambar bersama peserta di Likas
Bergambar bersama peserta di Likas

Alumni UPSI berkumpul di Sabah sempena sambutan 100 tahun

Norliza Wasilan
02 Aug 2022 01:13pm
A
A
A

SABAH - Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) buat julung kalinya menjelajah ke Sabah untuk melaksanakan program Tautan Kasih Anak Kandung Suluh Budiman, baru-baru ini.

Program yang disertai 90 alumni itu merupakan inisiatif Pusat Alumni bertujuan mengeratkan silaturahim antara mereka yang terdiri dari era Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), dan UPSI.

Mengetengahkan konsep santai dan tidak formal, program tersebut diadakan di Restoran Santai Haji Manja, Likas dan Restoran Sandokan Seafood, Sandakan.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, pihaknya berharap pertemuan antara alumni tersebut dapat memberi manfaat kepada semua yang menyertainya.

“Tahniah diucapkan kepada Pusat Alumni UPSI kerana berjaya mengumpulkan alumni dari Sabah, malah apa yang membanggakan ialah Sabah antara negeri paling ramai menyambung pengajian di UPSI.

“Semoga program sebegini memberikan seribu satu manfaat buat kita semua,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Pusat Alumni, Dr Siti Hartini Azmi, program tautan itu membolehkan alumni UPSI menghilangkan rasa rindu terhadap tempat pengajian mereka yang lebih dikenali sebagai ‘Ibu Kandung Suluh Budiman’ dalam kalangan bekas pelajar.

Tambah beliau, berikutan sambutan yang menggalakkan daripada alumni di Sabah, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan lagi program seumpama itu ke peringkat antarabangsa.

“Kita juga berhasrat untuk meluaskan lagi sayap tautan kasih ini bersama-sama alumni yang ada di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, kami juga berharap jika ada alumni yang masih belum mengikuti Facebook Pusat Alumni supaya berbuat demikian untuk mengetahui perkembangan kami dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta program, Mohd Zain Ahmad, 65, yang ditemui berkata, dia begitu terharu apabila berpeluang menemui rakan seperjuangannya ketika menuntut di UPSI selepas hampir sepuluh tahun tidak berjumpa.

“Saya merasakan begitu sebak pada hari ini kerana dapat berkumpul bersama-sama rakan seperjuangan yang sudah lama tidak berjumpa.

“Hampir sepuluh tahun tidak berjumpa akhirnya dengan adanya program ini, saya berpeluang meluangkan masa bersama mereka.

“Ibu Kandung Suluh Budiman adalah tempat kami menimba ilmu sehingga mendapat segulung ijazah. Bak kata pepatah Melayu, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain,” katanya.

Artikel berkaitan

Festival Muallim UPSI kukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat

Sumbangan alumni Kolej Pertanian Malaya 1972, tanda prihatin UPM kepada pelajar

Anak Malaysia raih markah tertinggi dalam tesis ‘Master’ bidang pesawat di United Kingdom


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok