UTEM1
UTEM1

Sukarelawan UTeM cakna pelihara keindahan Pulau Bidong

Norliza Wasilan
16 Oct 2022 01:43pm
A
A
A

Pulau Bidong yang terletak di Terengganu mempunyai pemandangan yang cukup indah dan sesuai dijadikan sebagai lokasi untuk golongan yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi.

Selain itu, ia juga amat terkenal dalam kalangan pencinta sejarah yang mahu melihat sendiri tapak peninggalan orang hanyut Vietnam yang menghuni pulau berkenaan pada Ogos 1978 hingga 1991.

Cakna dengan keindahan khazanah dan sejarah Pulau Bidong, warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi aktiviti membersih kawasan sekitar pulau itu, baru-baru ini.

Program sukarelawan pelajar dan kakitangan UTeM itu membabitkan penyertaan 30 kakitangan dan 10 penuntut universiti berkenaan.

Tanpa mengira status dan pangkat, sukarelawan berkenaan disertai pelbagai lapisan warga UTeM terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi, profesional, sokongan sehinggalah pelajar.

Warga UTeM cukup bersemangat menjalankan aktiviti sukarelawan membersihkan kawasan sekitar Pulau Bidong.

Menurut Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, aktiviti berkenaan dilakukan sebagai usaha untuk meningkatkan semangat kesukarelawanan antara warga universiti, pada masa sama menjayakan program CSR.

Ujarnya, aktiviti pembersihan itu membabitkan kawasan sekitar pantai Pulau Bidong sehingga ke tapak peninggalan pelarian Vietnam.

“Gerak kerja pembersihan sampah-sarap meliputi kawasan di sepanjang pantai Pulau Bidong sehingga ke tapak peninggalan Kem Pelarian Vietnam adalah selari dengan kesedaran UTeM terhadap kelestarian alam sekitar.

“Selain itu, antara pengisian yang diberikan sepanjang aktiviti berkenaan ialah memberi penekanan terhadap pembangunan jati diri warga UTeM melalui sesi bina semangat dan motivasi yang turut disertakan dengan bacaan ikrar oleh peserta,” ujarnya yang turut menyertai program CSR berkenaan di Pulau Bidong.

Mengulas lanjut, tambah Massila, selain melaksanakan gotong royong, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya gerak kerja berpasukan, jejak warisan, sukan rakyat, water confident dan snorkel.

Beliau turut memaklumkan bahawa program berkenaan mendapat kerjasama Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Jalinan kerjasama ini sekali gus memperkukuhkan hubungan dan jaringan strategik antara dua universiti awam.

“Mereka (UMT) turut berkongsi pengetahuan mengenai pemuliharaan ekosistem di Pulau Bidong termasuklah teknik asas selam skuba kepada sukarelawan UTeM,” ujarnya lagi.

Artikel berkaitan

Penyelidik UTM berjaya bangunkan alat khas bantu golongan buta warna

UPM raih kemenangan berganda Anugerah Inovasi negeri Selangor 2022

Tidak pernah berpisah sejak kecil, kembar 3 teruja ikuti pengajian di USM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok