umt
umt

UMT Diving School terima pengiktirafan lima bintang, cipta sejarah Malaysia Book of Records

Rasyidah Zulkifi
30 Aug 2022 04:35pm
A
A
A

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Diving School menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di Malaysia yang mendapat penganugerahan lima bintang daripada Scuba School International (SDI), baru-baru ini.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, pengiktirafan tersebut menjadikan UMT sebagai pelopor kepada aktiviti selaman selamat yang berpandukan ketetapan dan standard seperti digariskan oleh badan antarabangsa.

“Melalui penubuhan pusat selam ini, ia juga akan memainkan peranan dalam mendidik masyarakat untuk menghargai ekosistem marin.

“Ini termasuk mengawasi aktiviti pencerobohan khususnya melalui aktiviti selam skuba di Pulau Bidong yang penuh dengan tinggalan sejarah, keistimewaan alam semula jadi dan arkeologi bawah air serta membimbing komuniti untuk menghargai populasi hidupan marin seperti spesies ikan inggu.

“Pusat selam ini akan terus diperkukuh bagi menyokong pelaksanaan proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan bersesuaian dengan bidang tujahan UMT,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambah beliau, UMT merupakan IPTA pertama yang mendapat ISO 9001:2015 (Kualiti Sistem Pengurusan) bagi pengurusan latihan berhubung perlesenan skuba perkhidmatan pendidikan.

“Rentetan daripada pensijilan ISO itu, pusat selam universiti awam ini telah memperolehi sijil penganugerahan Malaysia Book of Records.

“Wakil daripada UMT Diving School telah mewakili Malaysia di bawah Jabatan Standard Malaysia untuk membangunkan ISO di peringkat dunia berkaitan selam skuba,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Profesor Madya Dr Hasrizal Shaari, berkata, UMT Diving School akan mengorak langkah bagi memperkukuhkan beberapa bidang yang penting iaitu selaman berkonsepkan edu-tourism, arkeologi bawah air, latihan-latihan selaman berfokus, penyelam perubatan dan selaman saintifik.

“Perancangan jangka masa panjang adalah untuk mendapatkan pengiktirafan daripada agensi-agensi kerajaan dan badan antarabangsa sebagai pusat latihan terkemuka di dalam bidang selam skuba,” katanya.

Info:

Stesen Penyelidikan Alami Marin, Pulau Bidong, Terengganu telah dianugerahkan hak milik pajakan sementara (TOL) selama 99 tahun oleh kerajaan negeri kepada UMT bagi menyokong aktiviti kurikulum, kokurikulum dan penyelidikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang mencemar duli merasmikan pusat selam itu, pada 8 Ogos yang lalu.

Artikel berkaitan 

SK Ayer Hitam Labu pupuk pelihara flora fauna, tercatat dalam Asia Book of Records

Tahniah, Program Patriotisme UiTM diiktiraf The Malaysia Book of Records

UMT tubuh Diving School dalam kampus, sedia pelbagai perkhidmatan berkaitan selam skuba


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok