UMT tubuh Diving School dalam kampus, sedia pelbagai perkhidmatan berkaitan selam skuba
UMT tubuh Diving School dalam kampus, sedia pelbagai perkhidmatan berkaitan selam skuba

UMT tubuh Diving School dalam kampus, sedia pelbagai perkhidmatan berkaitan selam skuba

Roshlawaty Md Raieh
25 Aug 2022 10:43am
A
A
A

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah baharu apabila berjaya menubuhkan UMT Diving School (pusat selam) dalam kampus yang pertama seumpamanya dalam kalangan universiti awam.

Penubuhan UMT Diving School tambah bermakna apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan pusat selam tersebut di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong, baru-baru ini.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, keberangkatan baginda amat bererti kepada UMT dan secara tidak langsung mencerminkan keprihatinan terhadap pengurusan marin dan alam sekitar yang menjadi bidang utama kajian penyelidik UMT.

"Penubuhan pusat selam ini bertepatan dengan bidang tujahan UMT dan ia penting bagi menyokong pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran.

"Malah, ia juga menjadikan UMT sebagai satu-satunya universiti yang mempunyai 'dive centre' yang beroperasi di kampus utama dan Stesen Penyelidikan Alami Marin Pulau Bidong,” katanya.

Beliau berkata, pusat selam itu berperanan dalam menyediakan perkhidmatan operasi bagi semua aktiviti selam skuba di UMT merangkumi perkhidmatan penyelam profesional, aktiviti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, kemudahan sewaan peralatan dan arkeologi bawah air.

“Dengan penubuhan ini diharapkan semua pihak dapat memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi kepada penubuhan pusat selam tersebut serta operasinya agar dimanfaatkan terutamanya pelajar, penyelidik dan agensi luar,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Stesen Penyelidikan Alami Marin, Pulau Bidong telah dianugerahkan hak milik pajakan sementara atau TOL selama 99 tahun oleh Kerajaan Negeri Terengganu kepada UMT bagi menyokong aktiviti kurikulum, kokurikulum dan penyelidikan.

UMT yang gah membawa slogan ‘Terokaan seluas lautan demi kelestarian sejagat’ telah mendapat pelbagai pengiktirafan seperti penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA).

Artikel berkaitan 

9 lokasi menarik selam skuba di Malaysia

Pelajar dan alumni UniSZA pasarkan Melon Manis Terengganu di MAHA 2022

Pelajar raih Mumtaz dalam STAM 2021, jadikan solat sunat duha sebagai amalan wajib


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok