
Universiti Monash berjaya menduduki tempat ke-44 peringkat global, tahniah!
Universiti Monash yang merupakan institusi pembelajaran global bermatlamat memperkasakan pelajar telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menduduki tempat ke-44 peringkat global dalam Times Higher Education (THE) Ranking Universiti Dunia 2023.
Universiti itu juga mencapai keputusan terbaiknya dalam US News and World Report (USNWR) 2022-23 Kedudukan Universiti Global Terbaik iaitu tempat ke-37 di dunia.
Kedudukan dan pencapaian tersebut menyokong reputasi Universiti Monash sebagai institusi penyelidikan serta pendidikan yang terkemuka di dunia.
Menurut Presiden dan Pro Naib Canselor Universiti Monash Malaysia, Profesor Matthew Nicholson, Universiti Monash secara konsisten diiktiraf sebagai universiti bertaraf dunia.
“Keputusan terkini ini mengesahkan kedudukan kami dalam 50 universiti terbaik di dunia.
“Kedudukan tersebut adalah bukti kualiti kakitangan kami dan kecemerlangan pendidikan serta penyelidikan yang menggambarkan tujuan universiti berkenaan,” ujarnya dalam kenyataan media, baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Presiden (Pendidikan), Universiti Monash Malaysia, Profesor Beverley Webster berkata, antara kriteria yang dinilai untuk kedudukan tersebut termasuk pengalaman pelajar, kualiti kakitangan dan graduan, jumlah penyelidikan serta pengantarabangsaan komuniti kampus.
“Beberapa penilaian baharu termasuk kesan penyelidikan terhadap masyarakat, kesihatan, alam sekitar, etika dan tumpuan keterangkuman serta tanggungjawab sosial institusi,” jelasnya.
Universiti Monash Malaysia adalah kampus ketiga terbesar Universiti Monash.
Para pelajar menjalani kurikulum yang sama ditawarkan di Australia untuk mendapatkan kelayakan peringkat teratas dan membolehkan mereka mendapat ijazah antarabangsa kelas pertama daripada universiti menduduki tempat ke-57 di peringkat global dalam QS World University Rankings 2023.
Artikel berkaitan
Raih keuntungan RM5,000 pada 3 bulan pertama, kejayaan pelajar UMK ini cukup memberi inspirasi
UUM kekal tersenarai dalam QS Global MBA Rangkings 2023
Ranking UPSI semakin bagus, Naib Canselor kongsi apa yang mereka lakukan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok