Rangking UPSI semakin bagus, Naib Canselor kongsi apa yang mereka lakukan
Rangking UPSI semakin bagus, Naib Canselor kongsi apa yang mereka lakukan

Ranking UPSI semakin bagus, Naib Canselor kongsi apa yang mereka lakukan

Roshlawaty Md Raieh
27 Oct 2022 05:50pm
A
A
A

Warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melahirkan rasa gembira dan bangga apabila kampus mereka sekali lagi menerima pengiktirafan antarabangsa pada tahun ini menerusi The World University Ranking By Subject Education dan The World University Ranking By Subject Physical Sciences.

Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari hari ini, UPSI berada dalam ranking 151 hingga 175 dunia bagi tahun 2023 di The World University Ranking By Subject Education manakala berada di ranking 1001 di dunia pada tahun yang sama bagi The World University Ranking By Subject Physical Sciences.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, pencapaian di The World University Ranking By Subject Education dan The World University Ranking By Subject Physical Sciences membuktikan kesungguhan warga UPSI untuk memperkasakan aspek pengantarabangsaan khususnya dalam bidang pendidikan.

Jelasnya, UPSI yang dijenamakan pada tahun 1997 telah mengukir pelbagai kejayaan manis dalam dan luar negara sehingga berjaya membuka mata pelbagai pihak.

Keterserlahan UPSI, katanya, terpancar menerusi pelbagai pedagogi menarik mengikut era semasa yang bermanfaat terhadap dunia pendidikan tanah air.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Profesor Madya Dr Azmi Mohamed berkata, kejayaan yang dicapai itu membuktikan bahawa UPSI beriltizam merealisasikan segala agenda kolaborasi antarabangsa bersama universiti terkemuka dalam bidang pendidikan.

“UPSI optimis untuk menghadapi cabaran yang lebih besar iaitu dengan mengukuhkan penarafan yang lebih tinggi hingga kedudukan bawah 150 terbaik dunia dalam bidang pendidikan walaupun bukan mudah.

“Begitu juga dalam kedudukan The World University Ranking By Subject Physical Sciencess kepada tangga bawah 1,000 yang menjadi sasaran UPSI sebagai satu impian yang harus direalisasikan,” tuturnya.

Sementara itu, Azmi berkata, The World University Ranking By Subject merupakan satu penarafan antarabangsa berdasarkan bidang.

Berdasarkan rekod sebelum ini, UPSI yang pernah menyertai The World University Ranking By Subject Education buat pertama kali pada 2022 berjaya mencapai 176-200 dan meningkat kepada 151-175 bagi The World University Ranking By Subject Education 2023.

UPSI juga disenaraikan buat julung kalinya dalam The World University Ranking By Subject Physical Sciences 2023 pada kedudukan 1,001 ke atas.

“Untuk mencapai pengiktirafan ini, sebanyak lima indikator utama diambil kira bagi menilai kedudukan tersebut iaitu Pengajaran, Penyelidikan, Sitasi, Pandangan Antarabangsa dan Pendapatan Industri.

“Pencapaian yang diraih ini jelas membuktikan bahawa UPSI komited dalam memastikan kecemerlangan kualiti pendidikan dan guru yang dihasilkan di Malaysia.

“Malah, penyertaan baharu UPSI di The World University Ranking By Subject Physical Sciences juga membuktikan komitmen UPSI di dalam pembangunan penyelidikan berteraskan nanoteknologi dan nanosains,” katanya dengan menambah universiti itu telah membangunkan Pusat Kecemerlangan (Center of Excellence) berteraskan nanoteknologi yang memberi nilai tambah kepada penarafan tersebut.

Akhir sekali, beliau mewakili UPSI melahirkan hasrat agar universiti tersebut terus komited dalam menghasilkan graduan pendidikan berkualiti selaras dengan hasrat dan keperluan negara.

Artikel berkaitan 

UPSI, The World Bank Group bekerjasama laksana penyelidikan asuhan dan didikan kanak-kanak

Masa depan ragbi wanita UPSI dan UM cerah

‘Yah Kuchai’ Kampung Pisang kini lulusan Diploma Bahasa Inggeris UPSI, berhasrat jadi pendidik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok