552680
552680

UUM raih anugerah dalam ‘The Awards Asia 2021’

webadmin
16 Dec 2021 08:54am
A
A
A

ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) dipilih sebagai penerima anugerah Times Higher Education (THE) Awards Asia 2021 bagi kategori THE DataPoints Improved Performance Awards yang diumumkan dalam THE Awards Asia ke-3, semalam.

Universiti pengurusan itu merangkul anugerah tersebut dengan mengetepikan tujuh universiti lain di Asia dalam kategori sama iaitu Central South University (China), Guangxi University (China), Imam Abdulrahman Bin Faisal University (Arab Saudi), University of Jordan (Jordan), Kansai Medical University (Jepun), Kwansei Gakuin University (Jepun) dan Thapar institute of Engineering and Technology (India).

BACA JUGA: Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2021/2022 UUM esok! Mohon calon bertanding bersaing secara sihat dan elakkan provokasi

BACA JUGA: Penubuhan Unit Perkhidmatan OKU di 20 universiti awam – KPT

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pengiktirafan itu adalah yang pertama diterima UUM setelah disenarai pendek dalam kategori tersebut.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha seluruh warga universiti yang bekerja secara berpasukan sebagai satu keluarga. Penganugerahan ini mengukuhkan lagi jenama UUM di persada antarabangsa, seterusnya menjadikan nama UUM terus dikenali.

"Saya berharap UUM terus berusaha mempamerkan prestasi cemerlang bukan sahaja di peringkat nasional, malah dunia kerana mustahil untuk kita menggapai kecemerlangan ini jika tidak usaha bersama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedudukan UUM dalam THE World University Rankings yang sentiasa menunjukkan peningkatan memberangsangkan telah menarik perhatian pakar data THE untuk memilih UUM sebagai penerima anugerah tersebut.

Ikuti GPSBestari di Twitter dan Facebook

Pakar data THE merupakan pihak yang bertanggungjawab meneliti prestasi setiap universiti di rantau ini semasa proses pengumpulan data penarafan.

THE Awards Asia merupakan sebuah anugerah antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan: prestasi institusi pengajian tinggi dalam pelbagai aspek yang dianjurkan sejak 2019 dan merupakan kesinambungan daripada THE Awards iaitu acara anugerah pendidikan tinggi berprestij di United Kingdom. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok