WhatsApp Image 2022-12-09 at 12.06.38 AM
WhatsApp Image 2022-12-09 at 12.06.38 AM

Dr Jahid berjaya lengkapkan PhD kedua pada usia 83 tahun

Adlan Farhan Azwan
09 Dec 2022 01:47pm
A
A
A

Pada usia 83 tahun, kebanyakannya memilih untuk duduk berehat di rumah sama ada menghabiskan masa bersama keluarga atau cucu-cucu tersayang.

Tapi berbeza buat Dr Jahid Sidek kerana di usia emasnya itu, beliau berjaya melengkapkan tesis ijazah kedoktoran (PhD) kedua di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Kejayaannya itu didorong rasa tanggungjawab dalam memperkasakan amalan pengubatan Islam.

Beliau yang telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen ke-17 UMP merupakan pelajar paling berusia di Malaysia yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah kedua.

Ijazah tersebut telah disampaikan oleh Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor pada sesi pertama majlis konvokesyen.

Menurutnya, bagi PhD kali kedua ini, beliau telah melakukan kajian spesifik tentang satu kaedah rawatan Islam yang dikenali sebagai Refleksologi Spiritual Islam (RSI) dengan tempoh pengajian 10 tahun.

“Kajian ini dilakukan bagi merancakkan lagi pembangunan bidang amalan pengubatan Islam yang semakin berkembang di Malaysia,” katanya ketika menghadiri Majlis Konvokesyen ke-17 di UMP, baru-baru ini.

Sebelum ini, beliau telah memperoleh PhD pertamanya di Universiti Malaya dalam bidang Tasawuf.

Dalam pada itu, Dr Jahid juga berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha menimba ilmu seperti pelajar yang lain.

Jelasnya, pada permulaan pengajiannya untuk mendapatkan PhD kedua, dia menghadapi cabaran dari segi pengumpulan data untuk melengkapkan kajian.

Namun, beliau kuatkan semangat untuk terus berusaha dalam menjalankan tanggungjawab menyediakan khidmat rawatan Islam yang patuh syariah kepada masyarakat.

Hakikatnya, Dr Jahid bukanlah nama asing dalam bidang penyelidikan pengubatan Islam.

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sastera Universiti Malaya (UM) pada tahun 1973.

Sebahagian keluarga Dr Jahid yang turut hadir pada Majlis Konvokesyen ke-22 UMP, baru-baru ini. Kredit foto: UMP

Setelah tamat berkhidmat sebagai pensyarah selama lebih dua dekad di universiti itu, beliau meneruskan usaha-usaha dakwah melalui kuliah dan runding cara di pelbagai peringkat sama ada di negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Sebelum itu, Dr Jahid memulakan kerjaya sebagai guru agama di Sekolah Menengah (SM) Inggeris, Jasin, Melaka pada tahun 1964 hingga 1968.

Beliau kemudiannya meneruskan kerjaya mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Muar, Johor pada1969.

Hasil sumbangan Dr Jahid sebagai pensyarah penyelidik, ia telah melayakkannya untuk dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Kebajikan BUDI, Tokoh Pemulihan Riqab Negeri Selangor pada 2010 dan Pakar Tasawuf JAKIM dan panel Jalsah Turuq Suffiyyah Negeri Sembilan pada tahun 2007.

Artikel berkaitan

Datuk 3 cucu terima PhD usia 62 tahun, graduasi bersama anak perempuan

Kanser limfoma tidak halang guru di Sabah genggam PhD

50 sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok