50 sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini4
50 sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini4

50 sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini

Adlan Farhan Azwan
12 Sep 2022 04:44pm
A
A
A

Dalam usaha memelihara serta memulihara alam sekitar, seramai 50 sukarelawan KILAU Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menjayakan Program Penanaman Pokok Sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Tasik Chini, Pahang, baru-baru ini.

Program tersebut merupakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang melibatkan pelajar UMP dan kakitangan syarikat Next Green Pulp and Papers Sdn Bhd (NGPP).

Sebanyak 400 pokok yang terdiri daripada pelbagai jenis antaranya Meranti Temak Nipis, Merawan Siput Jantan, Kasai dan Batai telah ditanam sepanjang program berlangsung.

Para sukarelawan menanam pokok di bawah terik matahari bagi menjayakan Program Penanaman Pokok Sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Tasik Chini.

Menurut Penolong Naib Canselor, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir Dr Nurul Hazlina Noordin, program ini merupakan sebahagian daripada usaha UMP dalam menyokong kempen penanaman pokok anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Program ini juga sebahagian usaha UMP ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan memperkenalkan Projek Alam@UMP di bawah Yayasan UMP bersama pihak industri untuk menjayakan penanaman 5,000 pokok dalam tempoh lima tahun.

“Penglibatan UMP dalam CSR ini amat bermakna terutamanya dalam mencapai matlamat untuk memulihara alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, usaha ini dapat menyampaikan mesej mengenai kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan warisan alam semula jadi kepada pelbagai lapisan masyarakat.

“Dalam pada masa yang sama, aktiviti ini turut menyumbang kepada kriteria dalam penarafan UI Green Metric.

“UMP ingin merakamkan penghargaan terima kasih atas sumbangan 1,000 anak pokok daripada NGPP dalam menjayakan program ini,” jelas Nurul Hazlina.

Artikel berkaitan

Program Pencinta Alam SK Seksyen 9, pupuk nilai prihatin terhadap alam sekitar

PKLM UMS, Yayasan Sabah cipta kerjasama dalam usaha konservasi pemuliharaan Hutan Lembah Danum

Penyelidik UMP berjaya hasilkan sisa nanas alternatif medium penanaman cendawan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok