gambar hiasan kemas
gambar hiasan kemas

Syukur, hadiah kemerdekaan! PM umum elaun Pembantu Kemas, naik kepada RM800

Rasyidah Zulkifi
02 Sep 2022 10:16am
A
A
A

Kenaikan elaun melibatkan 9,439 kakitangan Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dari RM500 ke RM800 diibaratkan sebagai hadiah kemerdekaan buat mereka bersempena Hari Kebangsaan ke-65, baru-baru ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di hadapan kira-kira 7,000 tetamu pada Majlis Perhimpunan Perdana Sambutan 60 Tahun Kemas bertempat di Serdang, Selangor.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBKAM) dari RM300 ke RM500.

“Ketika saya menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang kini Kementerian Pembangunan Luar Bandar, PBKAM telah memohon untuk diberikan bantuan sara hidup yang sebelum itu tidak ada, tetapi ia akhirnya diluluskan dengan jumlah RM300.

“Demi mengenang jasa seramai 4,423 anggota PBKAM, saya setuju naikkan bantuan sara hidup kepada RM500 sebulan,” ujarnya yang menghargai jasa warga Kemas dalam melaksanakan berbagai-bagai inisiatif untuk meningkatkan kualiti kesejahteraan komuniti luar bandar pada majlis perhimpunan tersebut.

Pada perhimpunan yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju untuk memberi peruntukan RM8 juta bagi program digitalisasi 800 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas.

“Kerajaan juga bersetuju dengan beberapa cadangan yang dikemukakan Mahdzir berkaitan penambahbaikan perjawatan Kemas khususnya kakitangan kontrak dan Pegawai Kemas Daerah,” tuturnya lanjut.

Antara cadangan yang diutarakan oleh Mahdzir dalam ucapannya terdahulu ialah memendekkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan ke lantikan jawatan tetap dari 15 tahun ke 10 tahun dan melonggarkan syarat kepada pegawai lantikan kontrak perkhidmatan yang telah berkhidmat lebih dari 10 tahun tetapi kurang dari 15 tahun untuk dilantik ke jawatan tetap.

Turut dicadangkan ialah kenaikan pangkat dan gred Pemaju Masyarakat pelbagai jurusan daripada Gred S19 ke Gred S22 dan S26; penstrukturan semula perjawatan Pendidik Masyarakat Tabika dan Taska serta Penolong Pegawai Kemahiran dan Komuniti di Kemas dengan memberi peluang kenaikan pangkat daripada Gred S29 ke Gred S32 dan S38.

“Saya berharap hal ini diambil tindakan segera demi menghargai sumbangan daripada warga Kemas.

“Warga Kemas secara umumnya adalah benteng barisan hadapan kerajaan dengan ahlinya bertindak sebagai ejen perubahan yang menjadi perantara antara rakyat dan kerajaan, dan sewajarnya anggota-anggota ini memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan,” kata Ismail Sabri yang meminta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang turut hadir pada majlis perhimpunan tersebut untuk mengambil tindakan segera terhadap permohonan yang disokong beliau itu.

Perdana Menteri berkata, Kemas juga perlu aktif bagi mendapatkan maklum balas berhubung berbagai-bagai isu yang dilontarkan masyarakat di peringkat umbi dan memanjangkannya kepada pengurusan tertinggi serta kementerian, selain menyebar luas maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat luar bandar.

“Waktu ini sekiranya kita lihat banyak isu yang diputarbelitkan, banyak fitnah disebarkan. Jika fitnah disebarkan tanpa jawapan dan penjelasan, maka ia akhirnya dipercayai berita fakta yang sebenar.

“Kita mesti menjawabnya dan tanggungjawab anggota Kemas untuk memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai isu-isu yang berbangkit, malah Kemas juga bertanggungjawab menyampai maklumat tentang dasar-dasar yang diumumkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Sebagai ejen perubahan, katanya warga Kemas hendaklah mempersiapkan diri dalam segala ilmu dan skil terutama dalam bidang yang berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab Kemas.

“Kemas memainkan peranan amat penting dalam membantu negara membangunkan modal insan terutamanya di kawasan luar bandar.

“Khidmat dan sumbangan Kemas tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak, malah peranannya akan terus diperkasa dengan menumpukan kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan mampu melahirkan generasi berkeyakinan tinggi dan cemerlang,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, Kemas merupakan perintis pendidikan awal kanak-kanak melalui penubuhan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) pada 1970 dan Taska Kemas pada 1995 kerana kanak-kanak merupakan aset paling bernilai sebagai pewaris bangsa kita, bangsa Malaysia.

“Kemas telah mengambil inisiatif memperkenalkan program STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts and Mathematics) yang akan diperluaskan ke semua Tabika Kemas di seluruh negara bagi menarik minat kanak-kanak terhadap bidang Sains dan Teknologi.

“Pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga mengadakan perancangan jangka panjang yang jelas bagaimana untuk menambah baik bangunan-bangunan Tabika KEMAS di seluruh negara.

“Banyak Tabika Kemas yang uzur, saya tahu. Ada Tabika Kemas yang menumpang bangunan orang, kalau dekat kampung menumpang balai raya. Banyak perlukan perubahan,” katanya.

Artikel berkaitan 

Bakat digital guru Tabika dan Taska Kemas terus diperkasa

Syukur dapat jadi cikgu, ini 7 tip mengajar buat guru baru perkongsian Cikgu Syeri 

Mohon biasiswa penuh sebelum 31 Mac ini, peluang dapat 4 elaun sekaligus


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok