elaun-pelajar-mara
elaun-pelajar-mara

Elaun pelajar tajaan MARA dinaikkan

Adlan Farhan Azwan
12 Sep 2022 11:19am
A
A
A

Berita baik buat semua pelajar dalam dan luar negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) berkuat kuasa serta merta.

Menurutnya, kadar baharu ESH bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat diploma sehingga doktor falsafah dan profesional.

“Bagi pelajar luar negara pula, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian ijazah sarjana muda sehingga peringkat doktor falsafah dan peringkat profesional.

“ESH pelajar sedia ada dan baharu yang mengikuti pengajian dalam negara diselaraskan bersesuaian dengan peningkatan kos dan inflasi serta keperluan pelajar.

“Kenaikan ESH pelajar tajaan MARA ini bakal melibatkan seramai 62,998 orang,” katanya ketika berucap pada program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia pada Sabtu lalu.

Ismail Sabri berkata, ESH yang disediakan MARA digunakan pelajar bagi menampung perbelanjaan harian meliputi kos makan minum, sewaan kediaman, pengangkutan dan keperluan harian semasa pengajian.

“Kadar elaun sedia ada telah diguna pakai sejak lebih 13 tahun dan terdapat keperluan untuk disemak semula berikutan peningkatan kos sara hidup dalam negara sejak 10 tahun lalu, yang diburuk lagi oleh pandemik dan isu-isu lain yang melanda dunia.

“Ini memberi kesan kepada kos sara hidup pelajar di dalam dan luar negara sehingga mereka terpaksa merancang perbelanjaan dengan baik bagi memastikan pembelajaran serta tugasan akademik tidak terjejas,” ujar beliau lanjut.

Tambah Ismail Sabri, berdasarkan tinjauan JPA-MARA ‘Special Operation’ pada Februari lalu dengan menumpukan kepada kehidupan di kota utama seperti London, Bristol dan Edinburgh, lebih 60 peratus pelajar tajaan MARA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang majoritinya golongan B40 didapati terbeban dengan perbelanjaan harian.

“Sebagai contoh, purata perbelanjaan sebulan untuk bayaran sewa rumah dan bil utiliti di kota-kota utama berjumlah sekitar £500 (atau RM2,733) hingga £730 (atau RM3,990) iaitu perbelanjaan antara 60 hingga 70 peratus daripada elaun yang diterima setiap pelajar.

“Untuk makluman, elaun sara hidup pelajar MARA dan JPA seperti di London ialah sebanyak £1,045 (atau RM5,712) jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan UK iaitu sebanyak £1,312 (atau RM7,172) setakat bulan September 2021.

“Para pelajar terpaksa mengamalkan perbelanjaan berhemah melalui pemotongan bajet dengan cara mengikat perut, mendapatkan tempat tinggal yang jauh sedikit daripada universiti, selain bekerja sambilan di luar waktu kelas bagi menampung keperluan harian,” ujar beliau.

Artikel berkaitan

Azizah: 90 peratus siswazah TVET MARA, bekerja dalam tempoh 6 bulan

Perhatian kepada pelajar lepasan SPM 2021, ini 8 biasiswa yang anda boleh pohon

Sebanyak 25 peratus kadar elaun warden naik - KPM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok