unimasfi
unimasfi

Dua graduan UNIMAS terima Anugerah Akademik MTCC 2021

Mariatul Qatiah Zakaria
02 Mar 2022 03:19pm
A
A
A

KOTA SAMARAHAN - Dua graduan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah terpilih sebagai penerima Anugerah Akademik dalam bidang Pengurusan Hutan Mampan dan Pensijilan Kayu, Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (Anugerah Akademik MTCC) atas kecemerlangan tesis projek tahun akhir dan pencapaian keseluruhan dalam bidang pengajian masing-masing bagi tahun 2021.

Pelajar Program Sains dan Pengurusan Sumber Tumbuhan, Aileen Allysha Jack, menerima anugerah tersebut melalui tesisnya yang bertajuk Studies on Vegetative Propagation of Bamboo Species (Schizostachyum brachycladum) via Artificial Means yang mengkaji pembiakan buluh lemang atau nama saintifiknya schizostachyum brachycladum melalui kaedah pembiakan vegetatif tiruan.

“Saya menjalankan kajian mengenai buluh kerana berpendapat ia adalah sejenis tumbuhan yang misteri dan mempunyai banyak potensi terutamanya sebagai sumber alternatif kepada kayu balak. Tetapi, tidak banyak penyelidikan yang dibuat mengenainya.

“Anugerah ini menjadi dorongan kepada saya untuk membuat lebih banyak penyelidikan tentang buluh dan terus berusaha untuk mencapai cita-cita menjadi seorang penyelidik dalam bidang pertanian,” ujarnya.

Sementara itu, Elvia Chong Qi Ern memenangi anugerah ini melalui tesisnya mengenai tabiat ungka tangan putih (hylobates lar), sejenis mawas kecil arboreal yang terdapat di Asia Tenggara, di hutan dipterokarpa pamah, Pusat Rehabilitasi Ungka, Raub, Pahang. Tajuk tesis pelajar Program Sains dan Pengurusan Sumber Haiwan ini ialah Activity Budget and Height Proximity of Captive White-handed Gibbon (Hylobates lar) in Gibbon Rehabilitation Project, Raub, Pahang.

“Tidak banyak yang kita tahu tentang ungka berbanding orang utan, dan itulah inspirasi saya untuk menjalankan kajian ini dengan harapan berdasarkan kajian ini, saya dapat berkongsi pengetahuan dengan masyarakat.

“Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna. Malangnya, tidak ramai yang berminat untuk membuat penyelidikan mengenainya,” tutur Elvia.

Anak kelahiran Kajang, Selangor ini berkata, anugerah tersebut telah menambah keyakinan dirinya untuk menyambung pengajian dalam bidang berkaitan dan menjadi titik tolak untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang pakar dalam pemuliharaan hidupan liar.

Aileen dan Elvia masing-masing menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dari MTCC dan diraikan sempena majlis Konvokesyen ke-25 UNIMAS.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin.

Sementara itu, Willie berkata, inisiatif MTCC menggalakkan penyelidikan berkualiti dalam kalangan pelajar universiti adalah seiring dengan usaha kementerian untuk memastikan hutan dan kekayaan biodiversitinya dapat diuruskan secara mampan di samping mencari alternatif baharu bagi kayu.

“Ini adalah penting untuk memastikan permintaan tempatan dan antarabangsa bagi kayu lestari dapat dipenuhi secara berterusan,” katanya.

Anugerah Akademik MTCC telah diperkenalkan buat kali pertama pada 2016 sejajar dengan usaha berterusan MTCC untuk membantu menambah bilangan pakar dalam bidang pengurusan lestari sumber hutan dan produk kayu bagi meneruskan kelangsungan industri-industri yang berkaitan.

Pelajar universiti yang mengikuti pengajian berkaitan untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan seterusnya memilih kerjaya dalam sektor perhutanan atau industri perkayuan.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok