Hadir pendaftaran UM seorang diri dengan motosikal, Lai Kiat mahu balas jasa ayah besarkan adik-beradik
Mengharungi perjalanan sejauh 30 kilometer (km) seorang diri dari Putrajaya dengan hanya menunggang motosikal sambil mengendong sebuah beg pakaian dan juga peralatan pengajian, ia membuktikan kesungguhan dan kecekalan anak muda ini untuk sambung pengajian di Universiti Malaya (UM).
Walaupun tidak ditemani ahli keluarga seperti pelajar-pelajar lain, Lau Lai Kiat tetap bersemangat untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu untuk pengajian sesi 2022/2023.
Menurut pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan ini, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia sebelum ini telah menyambung pengajian peringkat diploma di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.
Katanya lagi, motosikal tersebut merupakan satu-satunya pengangkutan yang dia ada untuk bergerak ke mana sahaja.
“Motosikal ini memang saya letak di kawasan parkir Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang mana akan digunakan setiap kali saya ke Kuala Lumpur.
“Bagi perjalanan untuk ke universiti hari ini, saya telah bermalam di rumah rakan pada hari sebelumnya selepas mengambil motosikal di TBS,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook UM, baru-baru ini.
Apa yang lebih membanggakan, anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini merupakan ahli keluarga pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.
Dalam pada itu, Lai Kiat turut meluahkan hasratnya untuk membalas segala jasa ayahnya dengan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang sepanjang tempoh pengajian.
“Ayah saya yang bekerja sebagai buruh telah bertungkus lumus membesarkan kami adik-beradik dan sudah tiba masanya untuk saya membalas jasanya,” tambahnya.
Lai Kiat yang kini menetap di Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah (KK12) berkata, pemilihan UM sebagai universiti pilihan untuk melanjutkan pengajian adalah disebabkan percaya dengan kualiti pendidikan universiti tersebut sebagai universiti terbaik negara dan yakin akan menimba pengalaman kehidupan kampus yang menarik dan menyeronokkan.
“Memandangkan kampus UM terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, kemudahan yang ada di sini memudahkan saya untuk mencipta kenangan manis bersama rakan-rakan,” jelasnya.
Sumber: Facebook Universiti Malaya
Artikel berkaitan
Tidak pernah berpisah sejak kecil, kembar 3 teruja ikuti pengajian di USM
UKM kini dalam kalangan 9 peratus universiti terbaik dunia