UPSIDE-upsi
UPSIDE-upsi

Hari Keluarga UPSI 2022 rai 2,000 kakitangan, usaha eratkan silaturahim antara warga kerja

Adlan Farhan Azwan
12 Jul 2022 05:52pm
A
A
A

Dalam usaha mengeratkan silaturahim antara warga kerja, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Hari Keluarga 2022 bagi meraikan 2,000 kakitangan yang diadakan di Stadium dan Arena Kampus Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, selain jamuan makan durian dan buah-buahan tempatan, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti senamrobik, sukaneka, persembahan kebudayaan serta kemunculan persembahan penyanyi popular era 90-an, Nizam Laksamana.

Md Amin (tengah) turut bersama kakitangan membuka buah durian untuk jamuan makan.

“Sebagai universiti yang sentiasa prihatin dengan kebajikan warganya, program Hari Keluarga ini dilaksanakan untuk menghargai tenaga kerja selain mengeratkan silaturahim antara kakitangan sekali gus mengangkat aspirasi Keluarga Malaysia di peringkat universiti,” katanya selepas merasmikan majlis tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Program Hari Keluarga UPSI 2022, Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu menyaksikan penyatuan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) melibatkan kesatuan-kesatuan pengurusan seperti Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas UPSI (PRESTASI), Persatuan Kakitangan Akademik UPSI (PEKA), Kesatuan Pegawai Am UPSI (KPA) dan Persatuan Wanita UPSI (PEWARIS).

“Jika sebelum ini penganjuran Hari Keluarga hanya melibatkan penganjuran oleh kesatuan, namun kali ini kita dapat lihat penyatuan keseluruhan jabatan buat pertama kali setelah lebih 15 tahun.

“Kali terakhir penganjuran Hari Keluarga melibatkan semua kakitangan UPSI menerusi inisiatif Badan Kebajikan Kakitangan Universiti adalah pada 11 November 2006,” tambahnya.

Dalam pada itu, UPSI turut melancarkan minuman isotonik berperisa limau kasturi, hasil inovasi penyelidik Jabatan Sains Kesihatan, Dr Nurul Fadhilah Abdullah dari Fakulti Sains Sukan Kejurulatihan (FSSK).

Md Amin (tiga dari kiri) dan Jaffry (tengah, belakang) menunjukkan minuman UPSIDE yang diperkenalkan semasa Hari Keluarga UPSI.

Dekan FSSK, Dr Jaffry Zakaria berkata, minuman berjenama UPSIDE tersebut kaya dengan vitamin C turut mengandungi formula menghilangkan dahaga dan dapat membantu meningkatkan prestasi para atlet yang dijangka membuat kemunculan pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang bakal membuka tirai di universiti tersebut pada bulan hadapan.

Tambahnya, melalui kajian yang dilaksanakan, UPSIDE mengandungi keperluan nutrisi yang diperlukan para atlet untuk menjalani latihan dan membantu prestasi mereka ketika di lapangan.

“Pengeluaran produk minuman UPSIDE sedang dirangka untuk proses pengkomersialan dan dilakukan secara bersasar melibatkan fokus aktiviti sukan dalam dan sekitar kampus.

“UPSI juga masih mengintai peluang usahasama mana-mana pihak dalam industri baik persatuan sukan kebangsaan untuk mengeluarkan produk berkaitan peningkatan prestasi di UPSI,” jelasnya lanjut.

Artikel berkaitan

Festival Muallim UPSI kukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat

UPSI anjur program saham dalam usaha memupuk kesedaran pengurusan kewangan mahasiswa

Program ‘Merase Juge Durian Kitee’ beri peluang murid kurang berkemampuan nikmati raja buah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok