HUMS beri latihan DBT kepada 30 guru di Kudat
HUMS beri latihan DBT kepada 30 guru di Kudat

HUMS beri latihan Terapi Tingkah Laku Dialektikal kepada 30 guru di Kudat

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
11 Aug 2022 04:59pm

Seramai 30 guru kaunseling sekolah rendah dan menengah di Kudat, Sabah menerima latihan Terapi Tingkah Laku Dialektikal (DBT) dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi HUMS, Dr Nicholas Pang, latihan itu diberikan bersempena Program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), sebuah program di bawah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama UMS.

“DBT merupakan intervensi psikologi yang mempunyai keberkesanan saintifik bagi mengurangkan pemikiran ingin membunuh atau mencederakan diri sendiri.

“Ia bagi membendung masalah kesihatan mental terutamanya dalam kalangan remaja atau pelajar sekolah yang merupakan salah satu kumpulan berisiko tinggi,” katanya.

Tambah Nicholas, HUMS percaya kelestarian adalah asas kepada perkhidmatan kesihatan yang berkesan.

“Justeru, usaha untuk memindahkan pengetahuan (knowledge trasnfer) dari HUMS kepada guru-guru kaunseling di Kudat ini mampu memperkasakan mereka untuk memberi intervensi kepada pelajar di sekolah masing-masing.

“Sebelum ini, intervensi hanya boleh dilakukan di hospital yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

“Namun, DBT yang berpusatkan sekolah adalah jauh lebih lestari berbanding DBT berpusatkan HUMS atau hospital-hospital lain. Ia diharapkan dapat memainkan peranan sebagai ‘pencegahan primer’ untuk remaja di daerah berkenaan,” katanya.

Ujar Nicholas, ia secara tidak langsung turut meningkatkan taraf kesihatan mental di seluruh daerah Kudat dan mampu menangani pandemik kesihatan mental yang kini melanda seluruh sekolah di Malaysia.

“Kesemua guru yang terlibat dilatih dalam kemahiran DBT secara dalam talian selama lima sesi berturut-turut.

“Latihan ini turut melibatkan pensyarah jemputan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Melissa Hadi,” katanya.

Sementara itu, Nicholas turut memaklumkan HUMS berkolaborasi dengan Monash Universiti Melbourne cawangan Kuala Lumpur untuk mengadaptasi intervensi DBT kepada kebudayaan serta diterjemah ke bahasa Melayu.

“Ini merupakan satu projek jangka waktu panjang yang melibatkan penterjemahan semua bahan intervensi dan skrip dialog intervensi.

“Ia juga merangkumi uji cuba dalam kumpulan sasaran dan penganjuran program Training of Trainers,” katanya.

Artikel berkaitan 

Inovasi produk kesihatan dan kecantikan berasaskan herba berjaya dihasilkan oleh penyelidik UMS

Anugerah Pelajar Perakaunan MIA Terbaik 2021 milik Yishal dari UMS 

Ribuan pelajar mohon jadi Felo Perdana, Pei Ling terkejut namanya yang jadi pilihan. Cukup terharu! 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp