
Bijak akademik belum tentu bijak akhlak
Kecemerlangan akademik sering dijadikan ukuran kejayaan pelajar. Keputusan cemerlang dianggap lambang kecerdasan dan kebanggaan keluarga.
Namun kejayaan di atas kertas belum tentu mencerminkan kematangan akhlak. Dalam keghairahan mengejar markah tinggi, nilai moral dan kemanusiaan semakin terpinggir.
Mutakhir ini negara digemparkan dengan beberapa kes buli dan pergaduhan yang membawa kepada kematian pelajar. Lebih menyedihkan apabila insiden ini berlaku di sekolah berasrama penuh yang selama ini menjadi kebanggaan sistem pendidikan negara.
Institusi yang sepatutnya melahirkan pemimpin masa depan kini tercalar dengan perbuatan di luar batas kemanusiaan.
Budaya buli tidak boleh dianggap sebagai tradisi atau ujian ketahanan mental. Ia adalah jenayah yang mencederakan tubuh dan membunuh jiwa.
Lebih malang apabila sesetengah pelajar menganggap tindakan kasar sebagai bukti kehebatan atau simbol senioriti. Sedangkan hakikatnya, ia menunjukkan rapuhnya nilai moral dan kegagalan memahami erti tanggungjawab.
Kejadian tragis ini berpunca daripada kelemahan dalam pendidikan nilai. Guru terlalu dibebani tugasan pentadbiran, ibu bapa pula sibuk dengan urusan kerja, manakala pelajar lebih terpengaruh dengan dunia media sosial.
Hubungan antara manusia semakin renggang dan kasih sayang semakin menipis. Akibatnya, rasa hormat terhadap guru, rakan dan warden semakin hilang.
Sekolah berasrama penuh perlu kembali kepada tujuan asal penubuhannya. Ia bukan sekadar tempat pelajar pintar berkumpul, tetapi wadah membentuk sahsiah dan kepimpinan berteraskan disiplin dan akhlak.
Warden tidak boleh hanya menjadi pengawas disiplin. Mereka perlu menjadi pembimbing rohani, penasihat dan pendengar kepada pelajar yang sedang mencari arah hidup.
Pendidikan moral dan agama perlu dihidupkan semula dalam setiap ruang sekolah. Ia tidak cukup diajar dalam buku teks atau ceramah mingguan, tetapi mesti diterapkan melalui contoh dan budaya harian.
Nilai hormat, kasih sayang, empati dan tanggungjawab perlu menjadi nadi kepada setiap aktiviti pelajar.
Kementerian Pendidikan juga perlu menilai semula sistem bimbingan pelajar. Program akademik yang cemerlang harus seiring dengan pembangunan sahsiah dan kesedaran moral.
Latihan kepimpinan mesti disertai dengan pendidikan jiwa agar pelajar tahu mengawal emosi, menghargai orang lain dan menjauhi keganasan.
Masyarakat pula perlu peka terhadap gejala buli. Ia bukan perkara kecil atau gurauan pelajar. Ia mencerminkan keruntuhan nilai dan kelemahan sistem pendidikan membentuk insan beradab.
Setiap ibu bapa dan guru perlu berani menegur serta bertindak sebelum tragedi berulang.
Teknologi boleh mempercepat penyebaran ilmu, tetapi akhlaklah yang menentukan arah hidup. Pendidikan sejati tidak hanya melahirkan pelajar bijak, tetapi membina manusia yang berjiwa besar dan berhati mulia.
Dalam dunia yang semakin moden ini, marilah kita kembali mendidik dengan kasih dan tanggungjawab, agar tiada lagi pelajar menjadi korban kepada kegagalan nilai manusiawi.
Maklumat penulis
Pelajar Sarjana Kewangan, University of Warwick, United Kingdom, Muhammad Saniy Samsudin
Ringkasan AI
- Kecemerlangan akademik sering dianggap sebagai lambang kecerdasan tetapi tidak mencerminkan kematangan akhlak
- Kes buli dan pergaduhan di sekolah menunjukkan kegagalan dalam memupuk nilai moral dan tanggungjawab di kalangan pelajar
- Keruntuhan hubungan manusia dan pengaruh media sosial mendorong kepada peningkatan kasar dan hilangnya rasa hormat
- Sekolah perlu memfokus pada pembentukan karakter dan kepimpinan selain kecemerlangan akademik
- Pendidikan moral dan tanggungjawab perlu menjadi inti dalam sistem pendidikan untuk membina insan yang beradab dan bermoral