Untitled design (79)
Untitled design (79)

Jangan takut tonjolkan diri

Azleenda Sahaludin
18 Jan 2023 11:57am
A
A
A

Muhammad Faizul, penerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis)

"Jangan bazirkan kehidupan di universiti dengan hanya menuntut ilmu dalam dewan kuliah semata-mata, sedangkan terdapat banyak aktiviti dan program yang boleh disertai sebagai nilai tambah selepas tamat pengajian kelak.”

Muhammad Faizul.

Itulah bait-bait kata yang diungkapkan pelajar tahun akhir Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Faizul Mohd Noor, 24, yang merupakan penerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) USM dalam Pentauliahan Pegawai Kor Suksis di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Pelajar jurusan Sastera dengan Pendidikan itu memaklumkan, anugerah berkenaan merupakan pencapaian tertinggi yang diterimanya sepanjang tiga tahun terlibat aktif dalam Suksis USM.

Ia merupakan satu pengalaman bermakna apabila menerima anugerah daripada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail.

Tambah Muhammad Faizul, sebagai pelajar institut pengajian tinggi (IPT) kecemerlangan akademik perlu disokong dengan pengalaman pembelajaran yang diperoleh di luar bilik kuliah melalui aktiviti kemahasiswaan, kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

“Oleh itu, saya memilih untuk menyertai Suksis USM di tahun pertama pengajian pada 2019 sehingga berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan pada November lalu.

“Keputusan ini juga merupakan satu permulaan buat saya yang sudah memasang niat untuk terlibat aktif dalam Suksis sejak di sekolah menengah.

“Saya juga lebih bersemangat kerana ingin mengikut jejak langkah abang dan abang ipar yang juga merupakan seorang Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kini bertugas di Sabah dan Kuala Lumpur,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Bakat kepimpinan

Walaupun pada awalnya perlu berdepan dengan kesukaran terutamanya ketika latihan kawad kaki, namun ia bukan penghalang buat anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini untuk sentiasa berani menonjolkan diri.

Disebabkan itu, Muhammad Faizul telah dilantik sebagai ketua skuad bagi kumpulan 2019/2020.

Muhammad Faizul sebagai Pegawai Pemerintah Baris yang memberi arahan kawad kepada pelatih Suksis.

Katanya, walaupun masih baharu menjejakkan kaki ke alam universiti, pelantikan sebagai ketua skuad ini dilihat satu peluang untuknya terus mengembangkan bakat dalam kepimpinan.

Tidak berakhir di situ, Muhammad Faizul turut dilantik sebagai Timbalan Presiden Suksis USM semasa tahun kedua pengajian dan tahun ketiga dia memegang jawatan Presiden Suksis USM.

Tambahnya, sifat sentiasa berani menonjolkan diri, di samping membuktikan semangat kepimpinan antara penyebab dia terpilih memegang jawatan tersebut.

Bukan itu sahaja, semasa Pentauliahan Tamat Latihan juga menyaksikan Muhammad Faizul sekali lagi terpilih menjadi Pegawai Pemerintah Baris yang memberi arahan kawad kepada semua pelatih Suksis dari seluruh IPT zon utara.

Muhammad Faizul memberitahu, pemilihan sebagai Pegawai Pemerintah Baris itu perlu melalui tapisan daripada Jurulatih Pusat Latihan Polis Malaysia (Pulapol) Kuala Lumpur dengan melakukan ujian kawad, suara dan daya ingatan.

Kelebihan Suksis

Selain itu, anak kelapan daripada sembilan beradik ini turut menceritakan antara kelebihan menyertai Suksis terutamanya kepada pelajar tahun satu yang masih keliru dalam pemilihan unit beruniform universiti.

Tuturnya, kelebihan tersebut dapat dilihat selepas tamat belajar di mana sekiranya tidak mendapat pekerjaan dalam bidang yang dipelajari, mereka boleh mencuba nasib menjadi pegawai polis.

“Ini kerana mereka yang ditauliahkan bukan sahaja menerima sijil tamat belajar dari universiti malah turut menerima Sijil Pelantikan Inspektor.

“Dengan adanya sijil ini, ia peluang keemasan untuk menjadi pegawai polis dan tidak perlu melalui latihan pemilihan buat kali kedua,” katanya lanjut.

Beritahu Muhammad Faizul lagi, kelebihan menyertai Suksis juga dapat dilihat dari sudut jaminan penginapan sepanjang pengajian selain turut menerima elaun yang boleh membantu meringankan beban kewangan di universiti.

Namun, dia turut mengingatkan supaya tidak mengabaikan pelajaran dan tugasan yang diberikan pensyarah walaupun sibuk dengan aktiviti Suksis.

Tambahnya, pelajar perlu bijak membahagikan masa supaya dapat terus cemerlang sama ada dari sudut akademik juga kokurikulum.

Infografik

Pencapaian dan penglibatan

  1. Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) USM dalam Pentauliahan Pegawai Kor SUKSIS 2022
  2. Pegawai Pemerintah Baris Majlis Pentauliahan Tamat Latihan SUKSIS IPT zon utara
  3. Ketua Skuad untuk kumpulan 2019/2020
  4. Timbalan Presiden Suksis USM 2020/2021
  5. President Suksis USM 2021/2022

Artikel berkaitan

Kor Suksis curah bakti kepada negara

Bersusah payah, pahit jerih… akhirnya 204 pelajar tamat latihan Inspektor Kor Sukarelawan Suksis

43 ahli Kor Sispa UCS dalami ilmu rawatan kecemasan awal


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok