WhatsApp Image 2022-08-07 at 3.59.36 PM
WhatsApp Image 2022-08-07 at 3.59.36 PM

Program WOW babitkan penyertaan 400 pelajar, sasar golongan B40 dan Orang Asli sebagai peserta

Roshlawaty Md Raieh
09 Aug 2022 09:43am
A
A
A

Seramai 400 pelajar dari negeri Perak telah terpilih menyertai program Ways of Winning (WOW) yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Mereka yang terlibat terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan, SMK Aminuddin Baki, SMK Simpang Pulai, SMK Khir Johari, SMK Bandar Behrang 2020 dan SMK Dato’ Zulkilfi Muhammad yang masing-masing terletak di daerah Kinta dan Muallim.

Ketua Bahagian Modal Insan, Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datin Shahdee Datuk Ahmad berkata, program anjuran empowerNCER Akademik @ Perak dan Yayasan Petronas bagi Fasa 2 2022/2023 itu bermatlamat membantu pelajar yang terdiri golongan B40 dan Orang Asli bagi meningkatkan tahap akademik, motivasi dan sahsiah diri mereka.

Malah, ia juga sebagai satu inisiatif penganjur dan pihak UPSI untuk mengeratkan hubungan pelajar yang terlibat di samping membina jati diri mereka untuk terus mencipta kecemerlangan dalam pembelajaran.

Sepanjang WOW berlangsung, Shahdee berkata, pelbagai aktiviti disediakan untuk peserta antaranya Program Eksplorasi Sains, Teknologi, Enginnering dan Matematik (STEM), Pengurusan Emosi dan Kerjaya, Pengayaan Diri Murid, Celik Seni Visual Melalui Alam Semula Jadi, Sukaneka, Malam Kebudayaan, Tahun Enam Akademik, Team Building serta Kesihatan dan Kecergasan (FIKSI).

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan I, Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, penglibatan UPSI dalam program ini membuktikan keupayaannya berperanan membantu melahirkan modal insan yang mementingkan pendidikan demi masa depan pelajar.

“Ia wajar diteruskan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berpengetahuan,” katanya ketika merasmikan program WOW.

Hang Soon (tengah) bersama peserta program WOW yang terdiri pelajar dari sekolah sekitar daerah Kinta dan Muallim.

Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin; Ketua Operasi Yayasan Petronas, Tengku Noraida Tengku Mahmood dan Ketua PETRONAS Wilayah Tengah dan Utara, Zulkifli Othman.

Mengulas lanjut mengenai penglibatan UPSI dalam program WOW, Dr Md Amin berkata, UPSI sentiasa komited dalam mendepani isu pendidikan bagi memastikan tiada pelajar yang tertinggal dalam mendapat peluang pendidikan.

Ujarnya, universiti memiliki ramai tenaga pakar yang boleh bekerjasama dengan mana-mana organisasi bagi membantu komuniti melonjakkan tahap pendidikan mereka.

“Insya-ALLAH, kita akan bantu dari segi perkongsian tenaga pakar dalam memastikan anak-anak muda terus mendapat ilmu pengetahuan yang secukupnya,” katanya.

Program WOW yang digerakkan oleh Pihak Berkuasa NCIA telah dilaksanakan bermula dari tahun 2019 hingga 2022.

Sepanjang tempoh tersebut, seramai 2,750 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan 1,800 pelajar Orang Asli terpilih mengikuti program anjuran empowerNCER Akademik @Perak.

Pelajar-pelajar tersebut terdiri daripada sekolah yang terletak di tujuh daerah iaitu Muallim, Batang Padang, Hilir Perak, Kampar, Kinta, Kuala Kangsar dan Hulu Perak.

Artikel berkaitan 

Inisiatif Menu Keluarga Malaysia RM3.50 bakal beri manfaat 14,000 golongan B40 mahasiswa UPSI

Alumni UPSI berkumpul di Sabah sempena sambutan 100 tahun

‘Yah Kuchai’ Kampung Pisang kini lulusan Diploma Bahasa Inggeris UPSI, berhasrat jadi pendidik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok