suami-isteri-raih-phd
suami-isteri-raih-phd

Kesibukan bekerja dan cabaran urus anak bukan halangan buat pasangan suami isteri raih PhD

Adlan Farhan Azwan
29 Jun 2022 02:58pm
A
A
A

Kesibukan bekerja semasa dalam tempoh pengajian dan cabaran mengurus anak yang masih kecil bukanlah satu halangan buat pasangan suami isteri yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Pengurusan Pendidikan, pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-23, baru-baru ini.

Dr Suhairullah Omar Ramih dan isterinya, Dr Fadzilah Patman mengakui banyak cabaran terpaksa dilalui oleh mereka sepanjang tempoh pengajian yang bermula pada tahun 2018 sehingga 2021.

Menurut Suhairullah, mereka berdua perlu memainkan peranan masing-masing dalam membahagikan masa antara anak dan juga tugasan.

“Walaupun isteri saya bergelar seorang pelajar, namun dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai isteri untuk menjaga anak-anak kami yang masih kecil.

“Sepanjang tempoh pengajian, kami dikurniakan dengan dua cahaya mata sebelum berjaya menggenggam ijazah bersama,” katanya yang bertugas sebagai Jurulatih Pusat Kokurikulum di Kiulu, Sabah.

Fadzilah yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Rugading, Tuaran, Sabah juga meluahkan kegembiraan kerana dapat menamatkan pengajian bersama suaminya walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran selama tiga tahun tempoh pengajian.

“Saya sangat bersyukur kerana mampu menghabiskan pengajian dengan sokongan daripada ibu bapa dan mentua serta anak-anak yang terpaksa memahami situasi kami yang menggalas tanggungjawab sebagai ibu, bapa dan pelajar.

“Kami berjanji untuk meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak bagi menggantikan tempoh tiga tahun yang terpaksa dikorbankan mereka,” jelasnya.

Pasangan suami isteri itu masing-masing menerima skrol ijazah PhD pada hari pertama Majlis Konvokesyen di Dewan Canselor UMS.

Artikel berkaitan

Hadiri konvokesyen berbaju Melayu, graduan Harvard bangga jadi anak Malaysia

Sertai misi kemanusiaan, majlis konvokesyen pelajar UiTM diraikan di Afghanistan

Graduan UTHM berjaya siapkan tesis di pusat hemodialisis demi menjaga suami sakit


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok