1
1

Klinik Bersama Dekan UUM berjaya capai matlamat

Norliza Wasilan
02 Aug 2022 05:08pm
A
A
A

Bagi menambah baik perkhidmatan dan akademik membabitkan kakitangan dan penuntutnya, Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini telah mengadakan Klinik Bersama Dekan secara jumpa terus untuk berkongsi idea serta cadangan mengenai isu semasa.

Antara fakulti yang mengambil bahagian dalam klinik berkenaan ialah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM); Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC); Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan (SEFB); serta Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS).

Dekan TISSA-UUM, Profesor Dr Nor Aziah Abd Manaf berkata, pihaknya berpeluang memulakan sesi berkenaan bersama kakitangan dan penuntut sejak Jun lalu, selaras dengan seruan Naib Canselor, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah.

Menurut beliau, sambutan diterima amat menggalakkan kerana ia bukan saja mengetengahkan masalah tetapi juga berkongsi idea bagi penambahbaikan membabitkan aspek akademik serta tadbir urus pusat pengajian.

“Saya berterima kasih kepada semua yang telah meluangkan masa bertemu dan kita akan berusaha untuk membantu di peringkat pusat pengajian ini,” ujarnya.

Sementara itu, Dekan SMMTC, Profesor Madya Dr Norsiah Abdul Hamid pula berkata, banyak cadangan bagi tujuan penambahbaikan membabitkan individu dan pusat pengajian tinggi diterima setakat ini.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan pihaknya sentiasa komited mengadakan Sesi Santun Kasih Bersama Dekan setiap minggu pertama dan ketiga pada hari Khamis bermula akhir Julai lalu, di pejabatnya.

“Inisiatif ini diambil sebagai satu platform untuk membolehkan kakitangan bertemu dekan tanpa temu janji, pada masa sama menjadikan dekan lebih cakna dengan isu dan permasalahan dihadapi mereka.

“Kami faham terdapat pelbagai isu yang dihadapi tetapi mereka tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Jadi melalui sesi ini, kakitangan dapat terus bertemu dengan dekan dan berkongsi apa yang terbuku atau tertangguh sebelum ini,” ujarnya.

Artikel berkaitan

20 pelajar asnaf terharu terima sumbangan

‘Parenting Talk’ SEBARU bantu ibu bapa didik dan kendali anak-anak istimewa

Alumni UPSI berkumpul di Sabah sempena sambutan 100 tahun


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok