knowledge-hub-utp
knowledge-hub-utp

Knowledge Hub pertama di Malaysia sediakan lebih 12 juta koleksi bahan ilmiah

Adlan Farhan Azwan
08 Sep 2022 09:40am
A
A
A

Orang awam kini boleh mengakses lebih 12 juta koleksi bahan ilmiah dan bukan ilmiah secara percuma menerusi ‘Knowledge Hub’ (K-Hub) yang diperkenalkan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

UTP dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan K-Hub merupakan pusat sehenti pertama di Malaysia yang menyediakan akses bahan seperti artikel, jurnal, buku, tesis, profil pakar dan arkib gambar.

“Ia adalah salah satu daripada usaha UTP melalui Pusat Sumber Maklumat universiti untuk berkongsi maklumat yang terkini, pintar dan lestari kepada setiap golongan masyarakat di seluruh dunia selaras dengan kehendak persekitaran digital masa kini.

“K-Hub boleh dilayari menerusi khub.utp.edu.my dan setiap carian maklumat yang diperoleh adalah berstruktur dan sahih,” menurut kenyataan itu.

“Pelancaran K-Hub telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud bertempat di Pusat Sumber Maklumat, UTP, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Saidi turut merasmikan penutupan program pertandingan E-STREAM (Sains, Teknologi, Membaca, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) Waves anjuran universiti berkenaan.

Pertandingan tersebut telah dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Pertubuhan Rakan Komuniti Pendidikan Perak (PRKPP) dan Petrosains serta mendapat sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kerajaan Negeri Perak.

Dalam pada itu, UTP juga memaklumkan program itu yang memerlukan para peserta berpengetahuan dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dan Kemanusiaan, berkebolehan membaca dan berkemahiran teknologi seperti penyuntingan video serta penggunaan Internet, berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan sekolah seluruh negara.

“Program ini dianjurkan bagi meningkatkan minat dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendidikan STEM dan STREAM untuk memenuhi cabaran dan permintaan ekonomi pada masa kini dan masa hadapan.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang berteraskan kejuruteraan, sains dan teknologi, UTP sentiasa berusaha untuk menerajui kemajuan dan kecemerlangan pendidikan STEM dan STREAM untuk pembangunan negara,” jelas kenyataan itu.

Artikel berkaitan

Jalin kerjasama dengan 20 universiti di Indonesia, usaha UUM kukuhkan pengantarabangsaan

EVIC UMS sasar 10,000 pelawat menjelang Disember ini

2 pensyarah UiTM cipta kit Simulasi Luka bergred makanan, bantu pelajar fahami jenis luka


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok