3 (1)
3 (1)

EVIC UMS sasar 10,000 pelawat menjelang Disember ini

Adlan Farhan Azwan
16 Aug 2022 12:12pm
A
A
A

Eco-Campus Visitors Information Centre (EVIC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka mampu mencapai jumlah 10,000 pelancong antarabangsa menjelang Disember tahun ini.

Jumlah tersebut mampu dicapai berdasarkan trend peningkatan 30 peratus daripada rekod jumlah pelawat bulan Jun hingga Julai dengan anggaran seramai 10,765 pelawat sehingga hujung tahun bergantung kepada situasi semasa negara dan pembukaan sempadan beberapa negara lain.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Evic, sejak pembukaan semula secara rasmi pada Mei lalu, kampus UMS telah menerima seramai 938 pelancong antarabangsa, merangkumi 26 pelancong yang mula melawat pada 25 Mei, diikuti 583 pelancong pada bulan Jun dan 284 pelancong sehingga 18 Julai 2022.

“Daripada jumlah tersebut, pelancong dari Korea Selatan mencatatkan jumlah pelancong terbanyak iaitu 543 orang diikuti 54 pelancong dari China, Taiwan dan Hong Kong, 20 pelancong dari Singapura dan selebihnya pelancong dari negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Malta.

“Perkembangan ini sesuatu permulaan yang positif bagi tempoh dua bulan dan kita optimis untuk mencatatkan angka melebihi 10,000 pelawat kerana berdasarkan rekod sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, jumlah pelancong ke kampus UMS mencatatkan angka yang tinggi setiap bulan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Jumlah pelancong yang melawat kampus UMS pada 2019 adalah seramai 433,568 orang manakala dari 1 Januari hingga 11 Mac 2020 iaitu sebelum pelaksanaan PKP seramai 20,888 orang.

EVIC UMS menawarkan perkhidmatan sewaan basikal kepada pelancong dengan kadar RM10 sejam.

EVIC juga menjangkakan jumlah kutipan pendapatan sebanyak RM188,722.75 yang mampu dijana sehingga hujung tahun ini sekiranya angka 10,000 pelawat dicapai.

“Anggaran sumber pendapatan tersebut merangkumi penjualan Green Ticket yang dijangka mampu menjana RM107,650, penjualan cenderamata pula RM12,283.75, penjualan makanan dan minuman ringan dengan sasaran RM19,654 dan kutipan hasil penyewaan basikal yang dianggarkan sebanyak RM49,135.

“Berdasarkan penelitian, lebih ramai pelancong yang datang sendiri ke UMS berbanding menggunakan khidmat pelancongan, justeru EVIC telah mengambil peluang ini untuk menawarkan perkhidmatan sewaan kenderaan kepada pelancong antarabangsa.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan sewaan basikal elektrik dengan kadar RM10 sejam, sewaan Electric Tandem Bike RM30 sejam, perkhidmatan Buggy Car Ride RM15 bagi satu destinasi, dan sewaan Electric Mountain Bike RM50 sejam,” tambah kenyataan itu.

Selain itu, empat pakej lawatan khusus kepada pelawat turut ditawarkan bermula RM85 kepada pelawat tempatan dan RM110 kepada pelawat dari negara luar.

Bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke UMS, EVIC juga memaklumkan akan menggiatkan aktiviti kolaborasi bersama agensi-agensi berkaitan yang bersesuaian dengan aktiviti promosi.

“Sebelum pandemik Covid-19, EVIC pernah bekerjasama dengan syarikat seperti Traverse Tours and Travel dan akan melihat ruang kerjasama dari semasa ke semasa bersama syarikat agen pelancongan, pengurusan acara dan sebagainya.

“EVIC juga telah merancang beberapa program yang bertujuan untuk merancakkan lagi aktiviti dalam kampus antaranya dengan mengadakan Open Day bersama tour agent untuk memperkenalkan tempat-tempat menarik di dalam Eco Campus UMS, menambahbaik perkhidmatan dan kawasan persekitaran EVIC dan mempergiat aktiviti promosi EVIC di media sosial,” ujar kenyataan dari EVIC UMS.

Artikel berkaitan

HUMS beri latihan Terapi Tingkah Laku Dialektikal kepada 30 guru di Kudat

Herba tempatan Sabah jadi ramuan penyelidik hasilkan produk organik

Taman Botani jadi projek edu pelancongan UUM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok