banjir-kpt
banjir-kpt

KPT salur RM 2 juta, saran IPT terkesan laksana PdP secara dalam talian

Adlan Farhan Azwan
22 Dec 2022 03:08pm
A
A
A

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah meluluskan serta-merta peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membantu menyediakan bantuan dan kebajikan warganya.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ia membabitkan jabatan dan agensi di bawah kementerian itu, selain universiti awam (UA), politeknik serta kolej komuniti.

“Secara amnya, KPT mengambil tindakan merangkumi penyelarasan gerakan kesukarelawanan, pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bencana, mobilisasi aset, operasi bilik gerakan dan penyampaian pelbagai bentuk bantuan.

“Satu Bilik Gerakan Banjir di peringkat KPT diaktifkan bermula 18 November lalu yang beroperasi 24 jam sehari.

“Lima saluran talian telefon dan satu e-mel dibuka bagi memudahkan orang ramai mengemukakan sebarang aduan kecemasan dan pada masa Bilik Gerakan Peringkat UA turut dibuka dan dikendalikan universiti masing-masing,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, baru-baru ini.

Tambah beliau, melalui Briged Sukarelawan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sehingga Selasa lalu, seramai 7,741 sukarelawan yang terdiri daripada 726 staf dan 7,015 pelajar dari seluruh negara digerakkan bagi mengedarkan bantuan kotak makanan, pakaian, wang tunai, peranti dan kit kebersihan.

Tuturnya, KPT juga menggerakkan pasukan khas bagi menawarkan khidmat sokongan psikologi kepada mangsa.

“Dari segi logistik, sejumlah 61 bas, 38 kenderaan pacuan empat roda, 37 van, 17 lori dan tiga bot telah disediakan, manakala Briged Sukarelawan IPT turut menyediakan 80 waterjet, 21 waterpump dan 15 generator bagi membantu serta mempermudah kerja pemulihan di kawasan terkesan.

“Terdapat tiga fasiliti di bawah KPT didaftarkan sebagai PPS iaitu Kolej Komuniti Bentong, Pahang; Politeknik Mersing, Johor dan Politeknik Kok Lanas, Kelantan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, setakat Selasa malam, seramai 5,404 warga KPT dan pelajar IPT terkesan yang merangkumi 5,268 pelajar dan 136 staf.

“Antaranya daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Politeknik Hulu Terengganu (PHT),” jelasnya.

Selain itu, beliau menasihati pihak universiti, politeknik dan kolej komuniti yang terjejas agar memberikan keanjalan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sama ada secara dalam talian, mod asynchronous atau hibrid.

Katanya, IPT dinasihatkan agar menangguhkan PdP mengikut tahap keseriusan bencana dihadapi di kawasan masing-masing.

“Jawatankuasa Pengurusan Banjir Peringkat KPT akan terus memantau keadaan di kawasan berkenaan.

“Pelajar dan kakitangan IPT yang terkesan akibat banjir dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, menjaga keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Saya menyeru semua pihak di seluruh negara untuk bersama-sama mendoakan agar warga KPT, pelajar IPT dan orang awam yang terkesan supaya selamat serta dipermudah segala urusan mereka,” tambah beliau.

Artikel berkaitan

Banjir di Kelantan: 131 pelajar UMK luar kampus dipindahkan

Sukarelawan USM siap sedia misi bantuan banjir

(VIDEO) Gelagat pelajar UMT hadapi musibah banjir cuit hati warganet


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok