Kueggen harumkan nama UM dan negara dalam sukan karate. Tahniah!
Kueggen harumkan nama UM dan negara dalam sukan karate. Tahniah!

Kueggen harumkan nama UM dan negara dalam sukan karate. Tahniah!

Roshlawaty Md Raieh
08 Jun 2022 02:07pm
A
A
A

Kejayaan skuad karate kebangsaan yang menyumbang pingat emas ke-36 pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Gimnasium Ninh Binh, baru-baru ini cukup membanggakan rakyat Malaysia.

Ini kerana, kejayaan tersebut sekaligus berjaya membuktikan bahawa kontinjen negara turut memiliki kehebatan yang luar biasa dalam sukan masing-masing.

R Sharmendran, S Prem Kumar, H Sureeya Sankar, S Geerijaieswaran Pillai, V Kueggen, Kathish Gnanasekaran dan Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik merupakan atlet karate kebangsaan yang tangkas dan hebat menerusi acara kumite lelaki berpasukan.

Masing-masing ada kejayaan dan rekod cemerlang dalam sukan yang diceburi. Jadi, pemilihan mereka sebagai atlet karate kebangsaan sememangnya sudah tepat pada masanya.

Kali ini, Sinar Bestari ingin berkongsi kisah tentang atlet Kueggen A/L Vijayakumar yang cukup dikagumi ramai.

Beliau yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan, Universiti Malaya (UM) mempunyai kisah menarik berkaitan sukan karate.

Ini yang kami kongsikan buat anda semua. Selamat membaca.

*****

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini meminati sukan karate sejak berusia lima tahun lagi.

Ayahnya, Vijayakumar merupakan individu penting yang sentiasa memberi sokongan padu dan kata-kata motivasi mengenai sukan berkenaan.

Beliau tidak pernah jemu menghantar dan mengambil Kueggen daripada sesi latihan dan akan memarahi Kueggen sekiranya dia tidak mahu berlatih.

Anak kedua daripada empat adik beradik ini berkata, dia menjadikan abangnya sebagai idola dalam sukan seni mempertahankan diri ini.

Ini kerana, abangnya pernah merangkul pingat gangsa di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Justeru, pencapaian tersebut membangkitkan semangat Kueggen untuk terus aktif dalam sukan berkenaan.

Kueggen yang telah memenangi pelbagai anugerah sepanjang penglibatan dalam sukan karate berkata, dia juga tidak terkecuali berdepan dengan beberapa kenangan pahit.

“Saya pernah mengalami kecederaan serius iaitu Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kedua-dua kaki sewaktu latihan dan pertandingan.

“Saya juga pernah ‘down’ apabila kalah pada peringkat separuh akhir Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang lalu,” ujarnya.

Walaupun banyak memori pahit, namun ia tidak mematahkan semangat Kueggen untuk kekal fokus dengan pasukan karate Malaysia.

“Saya tidak akan berputus asa sebaliknya menjadikan segala memori pahit ini sebagai pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik dalam pertandingan akan datang,” ujarnya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, anak muda ini berkata, dia akan berusaha sebaik mungkin selagi berada dalam pasukan negara.

Malah, dia juga memasang impian mahu menjadi jurulatih karate kelak kerana ingin melahirkan lebih ramai lagi atlet hebat dalam sukan seni bela diri itu.

PROFIL DIRI

Nama: Kueggen a/l Vijayakumar

Umur: 23 tahun

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Sekolah: SMK Victoria Institution

Tahap pengajian: Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan, Universiti Malaya

Adik beradik: Anak kedua daripada empat adik beradik

Tinggi: 177m

Berat: 60kg

Artikel berkaitan

Gadis Cina fasih berbahasa Melayu, Mek Yun UTHM raih 2 anugerah

Guru kontrak, Sarawak gagal lantikan semula, harap SPP buka ambilan khas

“Baju kotor dan lambat sangat datang ke sekolah, kenapa?”


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok