portal-msu
portal-msu

MSUMC terima akreditasi MSQH

webadmin
31 Oct 2022 04:56pm
A
A
A

SHAH ALAM - Hospital pakar swasta, Pusat Perubatan MSU (MSUMC) telah menerima akreditasi penuh bagi tempoh empat tahun daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia atau Malaysian Society for Quality Healthcare (MSQH) sebagai perakuan dalam mencapai serta memenuhi piawai kualiti perkhidmatan dan keselamatan penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MSQH, Profesor Datuk Dr Abdul Rahim hadir menyampaikan sijil akreditasi kepada Pengasas MSUMC yang juga Presiden Management & Science University (MSU), Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab. Yajid.

Majlis penyerahan sijil turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MSUMC, Zahri Abd Ghani; Pengarah Perubatan MSUMC, Profesor Dr Badrisyah Idris dan kakitangan MSUMC.

Menurut Mohd Shukri, akreditasi MSQH ini merupakan permulaan kepada perjalanan MSUMC mencapai visinya iaitu ‘Caring, Healing, Educating’ dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang transformatif, berkualiti dan terkemuka di Malaysia serta rantau Asia melalui penggunaan teknologi yang inovatif untuk kesejahteraan semua.

MSUMC merupakan hospital pakar swasta pertama yang dibina khas untuk melengkapi peranan MSU melalui International Medical School (IMS) yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) selama lima tahun sama ada di kampus induk di Shah Alam atau kampus pesisir antarabangsa di Bangalore, India.

Program Akreditasi Hospital oleh MSQH menyediakan kaedah efektif dan efisien dalam menilai tahap kualiti dan keselamatan organisasi kesihatan menurut standard kebangsaan yang ditetapkan.

Program ini dibangunkan oleh para profesional dunia perubatan dan aplikasinya diterima serta diiktiraf di seluruh Malaysia. MSQH yang dibangunkan secara bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia serta Persatuan Perubatan Malaysia, adalah satu-satunya organisasi yang diiktiraf oleh KKM sebagai badan akreditasi untuk kemudahan penjagaan kesihatan primer dan perkhidmatan di Malaysia.

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok