Untitled design (89)
Untitled design (89)

MyJLEPS 22 promosi budaya Malaysia kepada 8 belia Jepun

Mariatul Qatiah Zakaria
25 Jan 2023 07:56pm
A
A
A

Program silang budaya yang dianjurkan institut pengajian tinggi awam mahupun swasta (IPTA/IPTS) dilihat menjadi trend dan pilihan mahasiswa hari ini.

Menerusi program tersebut, banyak impak yang diperoleh mahasiswa kerana dapat mempelajari dan memahami budaya-budaya negara lain.

Yang pasti, pada masa yang sama, mahasiswa IPT tempatan tidak ketinggalan berkongsi budaya negara dengan mahasiswa dari negara luar.

Terbaharu, Pertubuhan Pendidikan dan Sosial Kizuna Malaysia (Kizuna Malaysia) memperkenalkan budaya Malaysia kepada lapan belia Jepun melalui program Kepimpinan Belia Antarabangsa Malaysia - Jepun 2022 (Malaysia-Japan International Youth Leadership Program, MyJYLEPs22).

Yuzairi Abdul Rahim.

Menurut Pengarahnya yang juga Presiden Kizuna Malaysia, Ts Dr Yuzairi Abdul Rahim, program yang berlangsung selama lapan hari itu membolehkan lapan belia Jepun dari kawasan luar bandar dan perkampungan wilayah Fukui menjalani cara hidup penduduk Malaysia khususnya kawasan bandar dan luar bandar.

“Program ini dijayakan dengan bantuan 20 pelajar Malaysia dari tiga buah universiti, empat orang fasilitator dari Kizuna Malaysia dan dua orang pengiring dari Jepun.

“Kesemua program dijalankan di Putrajaya, Kuala Lumpur, Sungai Merab (Bangi), Sungai Pelek, Sungai Besar dan Shah Alam. Antara aktiviti yang dijalankan ialah lawatan, ramah mesra, penerangan profil setiap kawasan yang dikunjungi, aktiviti kebudayaan dan khidmat masyarakat.

“Setiap aktiviti dan tugasan yang dijalankan bertujuan memperkasa bakat kepimpinan belia kedua-dua buah negara bagi kecemerlangan individu, organisasi dan komuniti sekali gus membentuk pemikiran kritis dan kreatif dalam menjalinkan kerjasama dua hala Kuala Lumpur-Tokyo,” ujarnya yang juga merupakan JIPK Jabatan Agroteknologi, Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal UniMAP.

MyJYLEPs22 latih kepimpinan pelajar Malaysia-Jepun

Zeety Kartini.

Sementara itu, ulas Pengarah 1, MyJYLEPs22, Zeety Kartini Abdul Hamid, memandangkan ini program pertama Kizuna Malaysia, MyJYLEPs22 memberi penekanan kepada pembangunan sektor pelancongan tempatan pasca pandemik Covid-19.

“Tugasan yang diberikan kepada belia kedua-dua buah negara meliputi strategi menggalakkan sektor pelancongan tempatan dengan mengaplikasikan konsep Pelancongan Pintar melalui pelantar media sosial.

“Kerjasama dua hala kali ini adalah sebagai pembuka tirai bagi golongan belia Malaysia-Jepun dan pelbagai program susulan yang telah dirancang untuk meneruskan lagi inisiatif ini dengan melibatkan lapisan pelajar lain pada tahun akan datang.

Melalui jalinan persahabatan Malaysia-Jepun ini, Kizuna Malaysia berhasrat membawa suara anak muda ke peringkat antarabangsa dan mempersiapkan mereka dalam menghadapi cabaran masa hadapan agar tidak ketinggalan dalam arus pembaharuan global.

“Menguruskan program seumpama ini amat mencabar khususnya untuk mendapatkan tajaan dan membuat pelbagai persiapan bagi kelancaran perjalanan program” jelas Zeety Kartini.

Sementara itu bagi para peserta dari Jepun, mereka berasa sungguh bertuah kerana terpilih menyertai MyJYLEPs22.

“Pengalaman beramah mesra dan menyertai pelbagai aktiviti di Homestay Haji Dorani dan melawat Putrajaya serta beberapa lokasi di Malaysia membuatkan saya sangat teruja dengan negara ini.

“Penduduk tempatan mudah mesra walaupun kami tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan ini bukan alasan untuk saya serta peserta lain tidak menyertai setiap program yang dijalankan oleh Mizuna Malaysia,” tutur Ayu Miyagishi yang merupakan pelajar Fakulti Pendidikan, Universiti Fukui.

Ren Nakamura.

Bagi Ren Nakamura pula, dia seperti orang mengantuk disorongkan bantal kerana majoriti para peserta tidak pernah keluar dari Jepun dan kali ini berpeluang berkunjung ke Malaysia sekaligus menyertai MyJYLEPs22.

“Saya benar-benar gembira apabila dimaklumkan terpilih menyertai program ini pada Jun lalu.

“Selain mendapat kenalan baru, saya juga seronok menikmati makanan tempatan yang sangat enak dan sudah pastinya keindahan kawasan perkampungan di Malaysia membuatkan saya teruja untuk menjejakkan kaki ke sini lagi,” kongsi pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fukui National College of Technology ini lanjut.

Sementara itu, untuk peserta Malaysia pula, Muhammad Syahmi Akmal Zaini menjelaskan program seumpama itu mampu melahirkan siswazah berdaya saing apabila mereka menamatkan pengajian kelak.

“Mempelajari aspek pengurusan acara program, kewangan, komunikasi, kepimpinan, publisiti dan pengurusan organisasi mampu memberi nilai tambah kepada pembelajaran kejuruteraan yang saya pelajari di universiti.

“Saya sangat gembira dapat membantu melancarkan semua itinerari yang dirancang oleh Mizuna Malaysia sempena poenganjuran MyJYLEPs22,” jelas Muhammad Syahmi yang merupakan pelajar UniMAP.

Kizuna Malaysia telah ditubuhkan pada Februari 2022 oleh 10 orang bekas pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang belajar di pelbagai universiti di Jepun.

Pertubuhan ini mendapat kerjasama Malaysia International Association (Japan) bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang dapat membantu mencorakkan kepimpinan belia di negara ini.

Selain itu, Kizuna Malaysia juga ditubuhkan bagi menyokong Dasar Pandang ke Timur yang telah termeterai sejak 40 tahun lalu bagi membantu mengembangkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun.

MyJYLEPs22 mendapat kerjasama dan tajaan dari Tourism Selangor; Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA; Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaysia Perlis dan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia.

Fakta Menarik MyJYLEPs22

• MyJYLEPs22 berlangsung pada 2 hingga 10 September 2022.

• Kizuna Malaysia mengambil masa tiga bulan bermula awal Jun 2022 bagi membuat pelbagai persiapan penganjuran MyJYLEPs22 setelah sempadan negara dibuka daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

• Sebelum para peserta dari Jepun tiba di Malaysia, Kizuna Malaysia menganjurkan sesi suai kenal secara dalam talian.

• Pemilihan peserta dari Jepun dibuat dengan kerjasama Malaysia International Association Japan (MIA).

• Para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan, setiap kumpulan disertai dua orang pelajar Jepun dan lima orang pelajar Malaysia.

• MyJYLEPs22 memberi fokus mempromosi pelancongan melalui produk pelancongan seperti homestay dan aktiviti budaya.

• MyJYLEPs23 dijangka berlangsung pada Ogos tahun depan dan melibatkan 15 orang pelajar Malaysia yang akan berkunjung ke Prefecture Fukui.

• Antara aktiviti dan pengisian program melibatkan aspek pelancongan dan pendidikan seperti melawat sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti tempatan di Prefecture Fukui.

• Anggaran perbelanjaan projek RM150,000 yang melibatkan kos tiket penerbangan, pengangkutan, penginapan, perubatan, insurans, makan-minum, publisiti dan lain-lain.

Artikel berkaitan

Nihon Misuri beri pendedahan budaya Jepun kepada pelajar

Malaysia – Jepun jalin kerjasama, kukuh bidang Sains, Teknologi dan Inovasi

Kelainan sekolah di Jepun yang mungkin ramai tidak tahu. Ini faktanya!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok