H.E Katsuhiko Takahashi
H.E Katsuhiko Takahashi

Malaysia - Jepun jalin kerjasama, kukuh bidang Sains, Teknologi dan Inovasi

Rasyidah Zulkifi
03 Aug 2022 09:35am
A
A
A

Kerjasama antara Malaysia dan Jepun dilihat dapat mengukuhkan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dengan kepakaran masing-masing.

Menurut Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi, Jepun boleh berkongsi pengalaman dan teknologinya kepada Malaysia.

“Saya berharap agar kita dapat mendalami perbincangan ini untuk mengenal pasti kerjasama yang berkesan dalam bidang STI.

“Saya amat percaya Jepun dan Malaysia mempunyai banyak perkara untuk dikongsi dalam bidang berkenaan yang berpotensi besar untuk kebaikan bersama,” katanya dalam Simposium “Ke Arah Perkongsian dan Kerjasama yang Dipertingkatkan di Sempadan Baharu” anjuran bersama Japan Society for Promotion of Science Alumni Association Malaysia (JAAM) dan Akademi Sains Malaysia, baru-baru ini.

Simposium itu diadakan bertujuan untuk memperingati ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP).

Tambahnya, Malaysia mempunyai ramai pelajar dan penyelidik muda yang berbakat dan bercita-cita tinggi.

“Agensi Sains dan Teknologi Jepun (JST) memulakan Program Pertukaran Sains Sakura pada 2014.

“Setakat ini, lebih 1,855 anak muda Malaysia yang cemerlang telah dijemput ke universiti dan institusi penyelidikan Jepun.

“Ini membuktikan belia Malaysia menunjukkan minat yang tinggi dalam aktiviti penyelidikan Jepun,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden JAAM yang juga Presiden Akademi Sains Malaysia, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail, berkata, Jepun dapat beradaptasi dengan Rangka Kerja Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (10-10 MySTIE) untuk meningkatkan daya saing dan kemampanan industri negara.

“Saya percaya Rangka Kerja 10-10 MySTIE juga boleh disesuaikan dengan pemacu sosioekonomi Jepun dan menyediakan pendekatan sistematik kepada penggunaan STI untuk kesejahteraan ekonomi, masyarakat dan alam sekitar.

“Kedua-dua negara boleh mencapai penyelesaian yang lebih holistik melalui platform kerjasama dan perkongsian dengan membawa pemain utama untuk menerajui tindakan bersepadu,” katanya.

Artikel berkaitan

Pentingnya pelajar kuasai Sains dan Teknologi

UUM, IYRES jalin kerjasama, perkasa golongan belia

9 lokasi menarik selam skuba di Malaysia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok