Noradlie jadikan kegigihan penghuni penjara sebagai inspirasi sambung pengajian di UUM
Noradlie jadikan kegigihan penghuni penjara sebagai inspirasi sambung pengajian di UUM

Noradlie jadikan kegigihan banduan sebagai inspirasi sambung pengajian di UUM

Roshlawaty Md Raieh
14 Nov 2022 06:07pm
A
A
A

“Kerana kegigihan seorang banduanlah telah memberi inspirasi kepada saya untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam di Universiti Utara Malaysia (UUM),” kata Ketua Inspektor Penjara, Noradlie Abdul Raub, 40, menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari.

Menurut Noradlie, penghuni penjara tersebut yang tekun mengikuti pengajian ijazah kedoktoran (PhD) sewaktu menjalani hukuman penjara sememangnya seorang yang bersemangat untuk belajar.

“Sebelum ini, dia telah berjaya membuat diploma, sarjana muda dan sarjana sepanjang menjalani hukuman.

“Jadi, semangat dia saya ambil untuk meneruskan pengajian apatah lagi saya seorang bapa yang perlu menjadikan diri sebagai idola kepada empat orang anak,” ujarnya.

Sementara itu, Noradlie berkata, sepanjang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam di UUM, dia sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89.

Dek kejayaan tersebut, Noradlie telah diangkat sebagai penerima Anugerah Dekan sebanyak sembilan kali.

Noradlie yang sudah menamatkan pengajian penghujung tahun 2021 itu berkongsi rasa gembiranya apabila terpilih menerima Anugerah Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd dan anugerah Timbalan Naib Canselor dalam Majlis Konvokesyen UUM Ke-34 yang berlangsung 6 November hingga 10 November lalu.

“Saya sangat terkejut apabila diumumkan sebagai penerima anugerah ini.

“Bagaimanapun, mungkin ini adalah rezeki kepada kedua ibu bapa, isteri dan anak-anak yang banyak berkorban sepanjang saya menyambung pengajian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noradlie memberitahu, dia menyambung pengajian disebabkan mahu menambah pelbagai kemahiran dan pengetahuan baharu yang boleh memberi nilai tambah semasa bertugas di Jabatan Penjara.

“Sebelum ini saya sudah memiliki Diploma Fine Metal Design dan ijazah dalam bidang komunikasi massa di salah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.

“Bagaimanapun, disebabkan merindui suasana kampus semasa belajar sebelum ini, saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian di UUM biarpun pada waktu itu telah memiliki kerjaya stabil,” jelasnya yang sentiasa mengingati pesanan pegawainya bahawa seseorang itu harus mempunyai kemahiran dan ilmu yang pelbagai agar boleh disalurkan kepada perkhidmatan terutamanya untuk membantu Jabatan Penjara Malaysia.

Artikel berkaitan

Anak Malaysia raih markah tertinggi dalam tesis master bidang pesawat di United Kingdom 

Murid masih sukar untuk menulis? Pakar pendidikan khas kongsi 5 persediaan bagi mengajar kemahiran tulisan tangan

16 pelajar SSP ke Amerika Syarikat! Doakan mereka cemerlang dalam Tournament of Champions, WSC


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok