Rezeki! 61 pelajar B40 terima biasiswa peringkat tertiari penuh
Rezeki! 61 pelajar B40 terima biasiswa peringkat tertiari penuh

Rezeki! 61 pelajar B40 terima biasiswa peringkat tertiari penuh

Roshlawaty Md Raieh
01 Oct 2022 12:41pm
A
A
A

Seramai 61 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah telah dipilih oleh Maybank untuk menerima biasiswa penuh bernilai RM4 juta bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di universiti tempatan dan luar negara terkemuka tahun ini di bawah Anugerah Biasiswa Kumpulan Maybank 2022.

Pengerusinya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, sejak lima dekad yang lalu, lebih daripada 2,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada program biasiswa Maybank dan telah memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan organisasi serta negara.

“Kami kekal komited untuk terus membangunkan dan memperkayakan kumpulan bakat berpotensi dengan menyediakan tajaan kepada pelajar Malaysia yang layak, terutamanya mereka dalam kategori B40, untuk melanjutkan pengajian tinggi yang berkualiti di universiti awam terkemuka di negara ini serta di Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Program biasiswa Maybank yang ditadbir oleh Yayasan Maybank adalah sejajar dengan komitmen utama kemampanan Maybank di mana Kumpulan menyasarkan untuk ‘memperbaiki kehidupan satu juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang tahun 2025’.

Ia juga memenuhi Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG) 4, 10 dan 17 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menggalakkan pendidikan berkualiti dan sama rata.

Setiap calon telah melalui proses pemilihan dan penilaian yang menyeluruh yang tertumpu kepada kualiti kepimpinan dan keupayaan untuk bekerja sebagai satu pasukan, selain daripada pra syarat asas untuk mencapai keputusan akademik yang cemerlang dan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Pemohon yang mempunyai kemahiran insaniah yang kuat akan diberi keutamaan seperti dapat menyampaikan idea dengan jelas; menunjukkan kreativiti; berinovasi; kemahiran menyelesaikan masalah dengan baik dan berjaya mempamerkan kebolehsuaian serta ketangkasan memandangkan persekitaran yang berubah dengan begitu pantas.

Fokus dan terus menyumbang

Sementara itu, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Abd Manaf berkata, walaupun mereka menghadapi cabaran disebabkan oleh pandemik Covid-19, mereka tetap fokus dan terus menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan komuniti.

“Kami percaya biasiswa untuk pendidikan tertiari kekal sebagai sebahagian daripada eko-sistem dan sejajar dengan misi kami untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan.

“Di sini, kami merasakan ia menjadi tanggungjawab untuk terus menyokong dan menggalakkan bakat muda yang cemerlang di negara ini yang menghadapi masalah kewangan,” ujarnya.

Dalam mengiktiraf kepelbagaian dan keterangkuman serta sifat industri perbankan yang berkembang, Maybank mengalu-alukan pemohon yang mengikuti pelbagai kursus untuk membolehkan mereka mempunyai peluang yang adil dalam mengejar impian untuk memberi impak di dunia.

Selain daripada kursus berkaitan kewangan atau bidang lain yang berkaitan dengan industri perkhidmatan kewangan, program biasiwa juga diberi kepada pelajar yang mengikuti kursus dalam bidang kejuruteraan, reka bentuk kreatif, data sains dan aplikasi teknologi maklumat.

Anugerah Biasiswa Kumpulan Maybank merangkumi sokongan kewangan, termasuk yuran pengajian, elaun sara hidup, penginapan, elaun buku, perlindungan insuran dan komputer riba bertujuan untuk membangunkan bakat secara profesional melalui kerjaya yang memberikan manfaat bersama Kumpulan.

Program biasiswa yang telah menjadi inisiatif tanggungjawab korporat teras Kumpulan sejak 1970an, bukan sahaja bertujuan untuk menyokong pembangunan modal insan negara tetapi juga membolehkan pelajar yang layak untuk mengejar impian mereka.

Ia merupakan komponen utama kategori ‘Pendidikan’ dalam enam tonggak Tanggungjawab Korporat yang di pakai oleh Yayasan Maybank.

Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak dan berpotensi tinggi, mewujudkan saluran peringkat kemasukan kukuh yang terdiri daripada graduan baharu daripada universiti peringkat atasan serta mengukuhkan reputasi Maybank sebagai majikan bakat terbaik, khususnya dalam kalangan graduan baharu.

Artikel berkaitan 

Tahniah...Terima biasiswa antarabangsa, 2 pelajar ini berjaya tamatkan program pertukaran di Korea Selatan

4 tip jalani latihan industri buat pelajar IPT

Teringin belajar di Jepun, ini antara biasiswa yang pelajar boleh cuba mohon


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok