Pasangan kembar teruja lanjut pengajian bersama di UMK
Teruja dan cukup menggembirakan. Itulah gambaran perasaan pasangan kembar yang berjaya melanjutkan pengajian bersama-sama di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Nur 'Alya Nadhirah Razali dan adiknya, Nur 'Ainaa Sakinah, 20, yang berasal dari Ulu Tiram, Johor, ini mengakui mereka sebenarnya tidak menyangka ditawarkan mengikuti jurusan yang sama di universiti berkenaan.
Bagaimanapun, pasangan kembar ini bersyukur kerana diberi peluang untuk mengikuti program Sarjana Muda Keusahawanan (Peruncitan) dengan Kepujian di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP).
Menurut Nur 'Alya Nadhirah, dia dan adiknya cukup gembira sebaik menerima tawaran berkenaan walaupun mereka akan berjauhan dengan keluarga.
Berikutan itu, dia berharap mereka akan dapat bersama-sama mengharungi kehidupan di kampus tanpa sebarang masalah.
“Sebaik saja menerima surat tawaran dari UMK, kami berasa amat gembira kerana dapat memasuki universiti bersama.
“Ini kerana, kami memang sentiasa bersama sejak kecil dan tidak pernah berpisah, Alhamdulillah kini belajar pun di universiti yang sama,” ujarnya seperti dipetik laman sosial Facebook UMK, baru-baru ini.
Pasangan kembar itu adalah antara lebih 2,000 pelajar yang mendaftar bagi mengikuti program pengajian sesi akademik 2022/2023 membabitkan tiga kampus UMK iaitu di Pengkalan Chepa, Jeli dan juga Bachok.
Mengulas lanjut, Nur 'Alya Nadhirah berharap mereka dapat segera menyesuaikan diri dengan kehidupan baru dan belajar bersungguh-sungguh sebagai membalas jasa ibu bapanya.
“Kami berdua berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan membanggakan kedua orang tua serta menjadi contoh terbaik kepada adik-adik yang masih kecil,” tambahnya lagi.
Sementara itu, menurut Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli Che Razak, sesi pendaftaran kali ini diadakan secara bersemuka di ketiga-tiga kampusnya selepas tidak dapat berbuat demikian akibat Covid-19, sebelum ini.
Tambahnya, bagi sesi kemasukan akademik baru pada tahun ini, UMK telah menawarkan sebanyak 3,688 tempat kepada pelajar baru.
“Alhamdullilah, proses pendaftaran pelajar berjalan lancar dan UMK menerima maklum balas positif daripada ibu bapa.
“Malah, kami dapat melihat sebahagian daripada mereka ini cukup teruja serta gembira melihat anak mereka berjaya melanjutkan pengajian di sini,” tuturnya lagi.
Artikel berkaitan
5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB
3 guru Sabah hasilkan projek ‘Dau-Dau’, gembira diumumkan finalis anugerah inovasi di United Kingdom
Penyelidik UMT jalankan kajian berkaitan habitat dan pembenihan ketam bakau
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok