3 guru Sabah hasilkan projek ‘Dau-Dau’, gembira diumumkan finalis anugerah inovasi di United Kingdom
3 guru Sabah hasilkan projek ‘Dau-Dau’, gembira diumumkan finalis anugerah inovasi di United Kingdom

3 guru Sabah hasilkan projek ‘Dau-Dau’, gembira diumumkan finalis anugerah inovasi di United Kingdom

Roshlawaty Md Raieh
04 Oct 2022 10:00am
A
A
A

Projek ‘Dau-Dau’ yang dihasilkan tiga guru Bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah terpilih sebagai finalis Anugerah Inovasi Pendidikan Bahasa Inggeris United Kingdom dalam kategori inovasi tempatan.

Selain KV Keningau, turut terpilih sebagai finalis dalam kategori sama bagi pertandingan anjuran British Council itu adalah projek dari peserta Brazil, Peru, Republik Yunani, Ukraine dan United Kingdom.

Keputusan pemenang anugerah akan diumumkan pada 30 November depan.

Projek ‘Dau-Dau’ yang bermaksud dahulukala dalam Bahasa Bajau itu diilhamkan oleh Cikgu Dr Mohd Sirhajwan Idek, Cikgu Nurazilah Othman dan Cikgu Sydney Engelbert Ganggang.

Menurut Cikgu Mohd Sirhajwan, 'Dau-Dau’ merupakan projek seni yang menggabungkan seni persembahan, seni penulisan dan seni visual.

Ia membimbing pelajar dalam menghasilkan hasil karya seni sama ada melalui bidang seni persembahan, seni penulisan, seni visual ataupun gabungan mana-mana bidang seni tersebut.

"Bagi seni persembahan ia membabitkan penyampaian cerita, teater, deklamasi sajak dan puisi, manakala seni penulisan pula terdiri daripada cerpen, puisi, karangan dan lagu serta seni visual ialah lukisan.

“Setakat ini, hampir 130 pelajar telah menghasilkan pelbagai karya yang bertemakan warisan budaya pelbagai etnik dan kaum serta bahasa pengantaranya adalah Bahasa Inggeris.

“Kebanyakan karya telah dipertandingkan dan berjaya memenangi pelbagai anugerah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin memuji usaha tiga guru itu yang berjaya melaksanakan projek ‘Dau-Dau’ dengan begitu baik sekali.

Ujarnya, ‘Dau-Dau’ mampu membantu memelihara warisan budaya kerana ia bertemakan cerita rakyat dan budaya etnik.

“Saya berharap pasukan ini dapat membawa pulang kejayaan dalam Anugerah Inovasi Pendidikan Bahasa Inggeris United Kingdom itu,” tuturnya.

Artikel berkaitan 

4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat

45 pelajar KV Keningau sertai program Pertukaran Pendidikan secara dalam talian

Berjaya kumpul RM21,570 untuk projek khidmat masyarakat, usaha keras 7 pelajar master UKM dipuji ramai


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok