ASSSB
ASSSB

5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB

Roshlawaty Md Raieh
06 Oct 2022 10:55am
A
A
A

Majlis Kemuncak Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) yang berlangsung di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor, telah menobatkan lima buah sekolah sebagai pemenang bagi lima kategori yang dipertandingkan.

Sekolah-sekolah yang bertuah itu terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah bagi kategori Sekolah Rendah Bandar; SK Chopin, Parit, Perak bagi kategori Sekolah Rendah Luar Bandar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur kategori Sekolah Menengah Bandar.

Sementara itu, SMK Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor diumumkan pemenang kategori Sekolah Menengah Luar Bandar dan SK Pos Dipang, Kampar, Perak sebagai penerima Anugerah Khas Juri.

Setiap sekolah bagi kategori Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Menengah Bandar dan Sekolah Menengah Luar Bandar membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, trofi beserta sijil.

Manakala pemenang kategori Anugerah Khas Juri pula, mereka menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil.

Majlis Kemuncak ASSSB Sinar Bestari ini dihadiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Turut hadir, Presiden The Hope Factory Malaysia, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali; Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani; Naib Presiden Komunikasi dan CSR Bank Rakyat, Nizam Abu Samah; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Pengarang Eksekutif (Gaya Hidup dan Hiburan), Sinar Harian, Meen Tahrin selaku Pengarah Program.

Dalam majlis tersebut, hadirin telah dihiburkan dengan persembahan gamelan dari SMK Sungai Kertas, Batu Caves, Selangor dan persembahan Coral Speaking dari SK Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

Turut menghiburkan, dua selebriti tempatan iaitu Profesor Madya Dr Soo Wincci dan Aizat Amdan.

ASSSB yang dianjurkan bahagian pendidikan Sinar Harian, Sinar Bestari merupakan anugerah yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun ini untuk memberi pengiktirafan kepada sekolah-sekolah yang menepati ciri-ciri S.M.A.R.T.

Lima ciri utama yang dicari iaitu S, skil; M (mahir); A (atribut); R (relevan) dan T (teknologi).

Artikel berkaitan

Penggunaan teknologi interaktif bantu tarik minat pelajar dalam bidang STEM

Kemahiran digital SK Dato’ Wan Kemara raih pengiktirafan antarabangsa

Hasil kejayaan pelajar dan guru berjaya julang nama SMK Saujana Utama


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok