Pelajar kerdil lanjutkan pengajian meskipun berstatus OKU, cabar diri untuk berdikari
Demi mencabar diri untuk berdikari, seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil, Nur Hanis Zainalabidin, 19, mengambil keputusan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Psikologi Dengan Pembangunan Manusia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Nur Hanis merupakan penghidap pseudoachondroplasia iaitu gangguan pertumbuhan tulang atau kerdil sejak dilahirkan dan mempunyai ketinggian 121 sentimeter (cm).
Menurut anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, kepercayaan yang diberikan ibu bapanya menjadi pembakar semangat dan sekali gus tidak menjadikan kekurangannya sebagai penghalang untuk mendapatkan keputusan cemerlang selain bercita-cita berkhidmat dalam bidang sumber manusia.
“Saya percaya pada kemampuan diri untuk berdikari meskipun ini kali pertama saya masuk asrama dan berjauhan dari keluarga.
“Pergerakan saya adalah terhad kerana perlu menggunakan tongkat dan mudah berasa penat sekiranya berjalan lebih daripada 200 meter (m).
“Jika saya berjalan lebih daripada jarak tersebut, kadang kala saya boleh demam kerana terlalu penat,” katanya pada Sesi Pendaftaran Pelajar Baharu di UTM, baru-baru ini.
Dalam pada itu, turut melanjutkan pengajian di universiti yang sama ialah Nur Billahizzah Razib, 20, yang menghidap cerebral palsy akibat gangguan saraf tulang belakang.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk memulakan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia.
Jelasnya, dia boleh berjalan dengan normal, namun mudah berasa penat dan berharap dapat menjalani pengajian di universiti tersebut dengan lancar.
“Kebiasaannya, saya akan berasa sakit jika terlalu penat seperti lenguh di bahagian belakang badan.
“Saya bersyukur kerana dapat melanjutkan pengajian di sini (UTM) kerana setiap tahun saya perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” ujarnya.
Sebelum itu, Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail memaklumkan, universiti itu telah menerima 3,558 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi sesi akademik 2022/2023.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,401 pelajar akan mendaftar pengajian di UTM Johor Bahru dan 157 pelajar pula di UTM Kuala Lumpur.
“Sebanyak 567 pelajar antarabangsa dari 35 negara antaranya Bangladesh, Brunei, China, Ekuador, Indonesia, Mesir, Pakistan dan Yemen juga mendapat tawaran mengikuti pengajian di UTM untuk sesi akademik baharu kali ini,” katanya. - BERNAMA
Artikel berkaitan
Status OKU bukan halangan Muhammad Isa lanjutkan pengajian di UIAM
Pasangan kembar seiras teruja masuk UM bersama