Raja Akif kini berada di barisan hadapan penyelidikan penerbangan moden di Amerika Syarikat selepas berjaya menggenggam PhD Kejuruteraan Aeroangkasa. Foto: Facebook MARA USA
Raja Akif kini berada di barisan hadapan penyelidikan penerbangan moden di Amerika Syarikat selepas berjaya menggenggam PhD Kejuruteraan Aeroangkasa. Foto: Facebook MARA USA

Tersenarai 27 pelajar kejuruteraan paling berbakat di dunia, Raja Akif kini miliki PhD Kejuruteraan Aeroangkasa! 'Anak Terengganu sentiasa gah di persada dunia'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
13 Feb 2026 03:25pm

Anak Terengganu sememangnya luar biasa!

Itulah gambaran paling tepat buat Dr Raja Akif Raja Zahirudin yang kini berada di barisan hadapan penyelidikan penerbangan moden di Amerika Syarikat selepas berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Aeroangkasa.

Kisahnya bukan sekadar tentang kecemerlangan akademik, tetapi perjalanan penuh tekad, disiplin dan pengorbanan sehingga namanya menjadi rujukan dalam bidang teknologi penerbangan vertikal dunia.

Menerusi perkongsian MARA USA di Facebook, perjalanan anak muda ini mula mencuri perhatian ramai apabila beliau tersenarai antara 27 pelajar kejuruteraan paling berbakat di dunia pada tahun 2021, sekali gus menerima anugerah Barnes M. McCormick Vertical Flight Foundation Scholarship.

Raja Akif merupakan bekas pelajar sekolah harian, iaitu Sekolah Kebangsaan dan SMK Rantau Petronas. Langkah awalnya ke menara gading bermula di INTEC, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Di sinilah minatnya terhadap kejuruteraan dan teknologi aeronautik serta angkasa mula dipupuk secara serius. Setiap tugasan, projek dan perbincangan akademik mengukuhkan tekadnya untuk memahami dunia aeroangkasa dengan lebih mendalam.

Foto: Facebook MARA USA
Foto: Facebook MARA USA

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian Sarjana Muda di Pennsylvania State University, Amerika Syarikat dalam bidang Aerospace Engineering dan menjadi satu-satunya rakyat Malaysia dalam program tersebut pada tahun berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Mencabar? Sudah tentu. Tetapi di situlah beliau belajar berdikari, membina rangkaian antarabangsa dan menyesuaikan diri dalam dunia akademik yang sangat kompetitif," menurut perkongsian tersebut.

Penyelidikan bersama NASA

Minatnya terhadap penyelidikan semakin berkembang apabila beliau terlibat dalam pelbagai projek bersama rakan industri dan agensi kerajaan Amerika Syarikat ketika pengajian pascasiswazah.

Bagi kajian PhD Kejuruteraan Aeroangkasa pada 2025, Raja Akif berpeluang bekerjasama dengan NASA Langley Research Center.

Beliau membangunkan Coaxial Acoustic Test System (CATS), iaitu sistem ujikaji dalam kemudahan bilik kedap bunyi (anechoic) untuk mengkaji bunyi rotor dan prestasi aerodinamik.

Kajian itu menyumbang kepada pembangunan pesawat generasi baharu termasuk teknologi eVTOL (electric Vertical Take-Off and Landing).

Daripada seorang anak kecil yang memandang langit di Kerteh, kini beliau berada di pusat penyelidikan yang menjadi impian ramai.

Terus melakar nama

Hari ini, Raja Akif meneruskan penyelidikan di Georgia Institute of Technology sebagai GT-AE Postdoctoral Fellow.

Beliau terlibat dalam pembangunan pesawat elektrik eVTOL NASA RAVEN GT serta membantu penyelidikan aerodinamik di John J Harper Wind Tunnel sekali gus meletakkan namanya dalam kalangan penyelidik muda yang disegani.

Foto: Facebook MARA USA
Foto: Facebook MARA USA

Di sebalik kejayaan itu, Raja Akif tidak pernah lupa asal-usulnya. Beliau menitipkan pesanan penuh makna kepada pelajar Mara.

"Ingat tujuan asal anda dan dari mana anda datang. Biasiswa adalah amanah, tidak semua orang mendapat peluang ini. Beri kembali lebih banyak daripada apa yang diterima.

"Pilih jalan yang bermakna, bukan jalan yang paling mudah. Bina hubungan kukuh dengan pensyarah dan industri. Sasarkan impian tertinggi walaupun tidak sampai ke destinasi akhir, anda tetap akan mencapai sesuatu yang bermakna," ujarnya.

Kisah Raja Akif membuktikan bahawa latar belakang sekolah harian bukan penghalang untuk berdiri sebaris dengan pakar dunia.

Dengan usaha, doa dan tawakal, anak Malaysia mampu terbang tinggi malah menjadi inspirasi dan rujukan ramai dalam bidang aeroangkasa global.

INFO

Anugerah dan Pencapaian

  • Georgia Tech Aerospace Engineering GT AE Postdoctoral Fellowship (2025)
  • Young Intellectual Award, IKRAM Muda Malaysia (2021)
  • Vertical Flight Foundation Barnes M. McCormick Scholarship (2021)
  • Kolaborasi penyelidikan PhD bersama NASA Langley Research Center
  • Yayasan Dayadiri Overseas Scholarship (2016)
  • Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu (2011)

 

 

Ringkasan AI

  • Dr Raja Akif Raja Zahirudin berada di barisan hadapan penyelidikan penerbangan moden di Amerika Syarikat
  • Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Aeroangkasa
  • Raja Akif mula mencuri perhatian apabila tersenarai antara 27 pelajar kejuruteraan paling berbakat di dunia pada tahun 2021
  • Beliau bekerjasama dengan NASA Langley Research Center dalam kajian PhD
  • Kini beliau melanjutkan penyelidikan di Georgia Institute of Technology sebagai GT-AE Postdoctoral Fellow
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp