
UiTM jadi fokus! DPDDM & KNDB rangka agenda perkasa mahasiswa Borneo bersama JPM
Usaha memperkasa mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari Sabah dan Sarawak menjadi fokus utama dalam lawatan kerja rasmi Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) bersama Koperasi Niaga Dinamik Berhad (KNDB) ke Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak) baru-baru ini.
Lawatan strategik itu bertujuan membincangkan cadangan Pemerkasaan Program Pembangunan Mahasiswa khususnya melibatkan lepasan dan mahasiswa UiTM dari Sabah dan Sarawak, dengan penekanan terhadap literasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembangunan wilayah serta hala tuju kerjaya pasca graduasi.
Delegasi telah disambut oleh Setiausaha Politik kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Ahmad Nazib Johari yang mewakili pihak kementerian dalam sesi perbincangan awal dan penerangan cadangan program.
Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi berkata, inisiatif itu selari dengan komitmen pihaknya untuk merapatkan jurang maklumat dan memperluas pendedahan mahasiswa UiTM dalam bidang keusahawanan, koperasi serta peluang ekonomi strategik.

"Mahasiswa UiTM dari Sabah dan Sarawak perlu diberikan kefahaman yang jelas, seimbang dan berfakta berkaitan MA63, pembangunan wilayah serta peranan Kerajaan Persekutuan dalam kerangka integrasi nasional.
"Kita mahu wujudkan ruang dialog dua hala antara mahasiswa UiTM dan kepimpinan kerajaan supaya suara generasi muda Borneo dapat didengar secara terus," katanya.
Tambah beliau, kesinambungan lawatan itu turut menyaksikan cadangan penganjuran program berskala besar di Sarawak menerusi penganjuran Borneo Dynamic Entrepreneur & Leadership Summit 2026 yang bakal menggabungkan elemen literasi MA63, keusahawanan dan koperasi sebagai pemacu ekonomi, pembangunan kepimpinan belia serta jaringan strategik antara mahasiswa, industri dan kerajaan.

Menurut Nor Hasnal yang juga Ahli Lembaga Pengarah Eastern International TVET College, DPDDM bukan sekadar badan perniagaan, malah berperanan sebagai platform pemerkasaan intelektual dan pembangunan kepimpinan dengan menggalakkan peningkatan kelayakan akademik serta pemikiran strategik dalam kalangan ahli.
Beliau berharap, kerjasama antara DPDDM, KNDB dan pihak kementerian dapat memperkukuh integrasi nasional serta membina ekosistem keusahawanan dan kepimpinan mampan bagi mahasiswa Borneo melalui pendekatan inklusif dan berimpak tinggi.
Delegasi turut menyatakan hasrat untuk mengadakan sesi pembentangan rasmi kepada kementerian bagi memperincikan struktur program, objektif serta potensi kerjasama strategik yang boleh dijalinkan demi manfaat mahasiswa UiTM dan pembangunan belia Sabah serta Sarawak secara menyeluruh.
Ringkasan AI
- Usaha memperkasa mahasiswa UiTM dari Sabah dan Sarawak menjadi fokus dalam lawatan kerja DPDDM dan KNDB ke Pejabat Menteri Hal Ehwal Sabah & Sarawak
- Bertujuan membincangkan Pemerkasaan Program Pembangunan Mahasiswa dengan penekanan literasi MA63, pembangunan wilayah, dan hala tuju kerjaya
- Delegasi disambut oleh Setiausaha Politik kepada Menteri bertanggungjawab untuk Hal Ehwal Sabah & Sarawak untuk membincangkan cadangan program
- Inisiatif bertujuan merapatkan jurang maklumat dan memperluas pendedahan dalam bidang keusahawanan, koperasi, dan peluang ekonomi bagi mahasiswa UiTM
- Berharap kerjasama antara DPDDM, KNDB, dan kementerian akan memperkuat integrasi nasional dan membina ekosistem keusahawanan serta kepimpinan mampan