
Pelajar Politeknik cipta Pro-Filler, inovasi bantu tingkatkan pengeluaran bantal kekabu
Sekumpulan pelajar dari Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, berjaya mencipta sebuah mesin, dua dalam satu (2 in 1) yang mampu mengasing biji kekabu dan mengisi kekabu ke dalam sarung bantal dengan mudah dan cepat.
Mesin yang diberi nama Pro-Filler itu mampu mengurangkan penggunaan tenaga, masa serta kos sekali gus dapat meningkatkan lagi pengeluaran produk bantal kekabu.
Ia juga turut dilengkapi dengan ciri keselamatan dan bersifat ergonomik supaya mudah dikendalikan termasuk oleh orang kurang upaya (OKU) ataupun warga emas.
Menurut Ketua Projek, Muhammad Amir Irsyaduddin Irawan, 22, mesin ini direka khusus bagi memenuhi keperluan industri kekabu yang memerlukan sebuah mesin khusus yang mampu meningkatkan lagi kuantiti pengeluaran bantal kekabu.
“Kami berharap mesin ini dapat membantu pengusaha produk kekabu yang kebanyakannya dari kawasan luar bandar dan warga emas serta dapat membantu meningkatkan ekonomi mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Ke-23, baru-baru ini
Muhammad Amir bersama dua anggota pasukannya yang lain, Abdul Rahman Auf Juanda dan Nurul Zakirah Rosli turut menerima Anugerah Projek Pelajar dalam majlis yang diadakan di Dewan Al-Jazari itu.
Muhammmad Amir berkata, mesin ini yang menggabungkan konsep 'cyclone' menjadikan proses pengasingan biji lebih efektif dan cepat.
“Melalui kaedah tradisional, masa yang diperlukan bagi memproses kekabu dan menghasilkan lima biji bantal adalah sekitar 45 minit berbanding hanya 12 minit menggunakan Pro-Filler,” jelasnya.
Artikel berkaitan
Inovasi ciptaan 10 pelajar jadi pilihan juri, ini pesanan guru pembimbing kepada mereka
112 pelajar Politeknik Muadzam Shah, cipta arca berasaskan bahan kitar semula