Pelajar UiTM Shah Alam dinobat Ikon Wanita Melayu 2022
Pelajar UiTM Shah Alam dinobat Ikon Wanita Melayu 2022

Pelajar UiTM Shah Alam dinobat Ikon Wanita Melayu 2022

Roshlawaty Md Raieh
19 Aug 2022 10:24am
A
A
A

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UITM) Shah Alam, Selangor, Aqila Afindi tidak pernah menyangka akan dinobatkan sebagai Ikon Wanita Melayu 2022 dalam program Pencarian Wanita Melayu anjuran Plaza Shah Alam, baru-baru ini.

Baginya, penyertaan dalam pertandingan tersebut adalah atas dasar mahu mencabar kemampuan diri dan menimba pelbagai pengalaman dalam bidang berkenaan.

Bagaimanapun, rezeki ALLAH tidak siapa pun tahu. Mungkin kerana tuah Aqila, akhirnya gelaran Ikon Wanita Melayu tahun ini menjadi milik beliau.

Ketika ditemu bual Sinar Bestari, Aqila berkata, gelaran Ikon Wanita Melayu 2022 itu benar-benar memeranjatkan, namun dia akan memikul tanggungjawab sebagai ikon dengan sebaik yang mungkin.

Sementara itu, selain gelaran Ikon Wanita Melayu 2022, Aqila juga pernah meraih pelbagai anugerah lain sepanjang bergelar pelajar.

Antaranya, Pembahas Terbaik Pertandingan Bahas Bahasa Melayu peringkat Putrajaya 2017 & 2018; Anugerah Sahsiah Terpuji peringkat Sekolah 2018; Anugerah Tokoh Nilam 2018; Anugerah Dekan (Semester 1 hingga 5 ) 2019 hingga 2022 dan Anugerah Naib Canselor 2022.

Menurut Aqila yang menjadikan Tan Sri Abdul Samad Ismail sebagai idola, tiada sebarang rahsia yang dia amalkan sehingga mampu meraih kepelbagaian anugerah sepanjang menjadi pelajar.

Apa yang dia buat hanyalah fokus pada apa yang dilakukan dan selebihnya berserah kepada ALLAH.

Akhir sekali, Aqila menasihatkan kepada para pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh dalam mengejar segala impian.

Malah, mereka juga perlu ikhlas dengan apa yang dirancang dan bekerja keras dalam segala bidang yang diceburi agar tidak menyesal pada kemudian hari.

INFO

  • Pencarian Wanita Melayu-Plaza Shah Alam (PWM 2022) kali ketujuh dianjurkan oleh Plaza Shah Alam dan mendapat sambutan mengalakkan daripada orang ramai.
  • Tahun ini, gelaran Ikon Wanita Melayu menjadi milik pelajar UiTM Shah Alam iaitu Aqila Afindi. Tempat kedua menjadi rezeki Nur Athiyah Hazirah Mohd Jamil Puad manakala tempat ketiga adalah milik Siti Aisyah Che Mohamed Zulkifli.
  • Anugerah lain seperti Miss Personality dan Miss Photogenic diberikan kepada Sabrina Nizam dan Nur Diana Sri Tunteja Mohd Johari.

Artikel berkaitan 

3 pelajar wakili Malaysia ke Myanmar. Doakan kejayaan mereka! 

Enggan kecewa sekali lagi, Izz Khalisa bangkit dan akhirnya muncul pelajar cemerlang SPM 2021 

Gigihnya berusaha, anak buruh kasar raih PNGK 4.00 dalam STPM 2021 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok