WhatsApp Image 2022-10-25 at 6.15.36 PM
WhatsApp Image 2022-10-25 at 6.15.36 PM

“Belajar untuk amanah dan jujur” - Cikgu Mohd Fadli terkilan pelajar ambil kesempatan jual tablet PerantiSiswa

Adlan Farhan Azwan
25 Oct 2022 06:17pm
A
A
A

Guru Matematik, Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh menasihati semua pelajar yang menerima tablet PerantiSiswa untuk bersikap amanah dan jujur serta memanfaatkan pemberian tersebut dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, tindakan menjual pemberian percuma yang bertujuan untuk meringankan beban pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) itu memberi cerminan terhadap sikap pelajar yang dilihat tidak mempunyai integriti serta hilang sifat amanah dan jujur.

“Harga peranti lengkap itu sekitar RM 1,800 dan telah diagihkan kepada 350,000 pelajar terpilih daripada keluarga B40 sehingga menelan perbelanjaan sebanyak RM630 juta.

“Sememangnya kerajaan sudah melabur sejumlah wang yang besar untuk pendidikan rakyat kerana pendidikan yang baik akan membawa kepada kemajuan negara.

“Namun, sayang sekali apabila terdapat segelintir pelajar yang tidak mengenang jasa dan budi sehingga tergamak membuat permohonan meskipun tidak layak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa terkilannya dengan alasan yang diberikan oleh mereka yang bertindak menjual peranti tersebut yang kononnya sudah mempunyai peranti sendiri namun tetap membuat permohonan dan menjualnya semula untuk mendapatkan keuntungan mudah.

Jelasnya, setelah menerima peranti, mereka (penerima PerantiSiswa) jual balik dengan harga yang lebih murah walaupun antara syarat utama penerima peranti ini ialah mereka tidak boleh menjualnya semula.

“Kalau masa belajar pun tiada integriti, tidak amanah dan tidak jujur, bagaimana agaknya kalau golongan ini bekerja dan memerintah kerajaan pada masa akan datang?,” ujarnya.

Sementara itu, Cikgu Mohd Fadli menegaskan masih ramai lagi yang memerlukan peranti tersebut tetapi tidak berjaya memperolehnya.

“Ramai lagi yang benar-benar memerlukan peranti tetapi tidak dapat, manakala mereka yang menipu data, tidak jujur pula dapat dan langsung tidak menghargai pemberian percuma itu.

“Belajar untuk amanah dan jujur. Terap dalam diri sikap integriti dan belajarlah menghargai pemberian sesiapa termasuk daripada kerajaan,” tambah beliau.

Artikel berkaitan

Cikgu Mohd Fadli tidak bersalah dan bebas segala pertuduhan

Tekanan daripada rakyat Malaysia antara bukti saya tidak bersalah" - Cikgu Mohd Fadli

5,000 pelajar asnaf dapat tablet percuma, RM9.3 juta dana MAIWP


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok