310321637_489102849922670_7859873814297524924_n
310321637_489102849922670_7859873814297524924_n

Pencapaian IPTS membanggakan bidang pendidikan negara

Adlan Farhan Azwan
18 Oct 2022 12:45pm
A
A
A

Sebanyak sembilan daripada 419 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan untuk tersenarai dalam kedudukan terbaik dunia penarafan QS World Rankings (QR WUR) bagi tahun 2023.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, pengekalan penyenaraian IPTS dalam kedudukan universiti terbaik dunia ini membuktikan kemampuan IPTS sebagai antara universiti terbaik di negara ini sejajar dengan misi menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi seperti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

“Namun begitu, tidak dapat dinafikan penutupan IPT semasa tempoh pandemik telah memberikan kesan kepada kelestarian IPTS.

“Daripada 435 IPTS yang beroperasi pada 2021, ia telah berkurang kepada 419 dan justeru itu saya berharap agar tahun 2022 menjadi satu titik transformasi untuk IPTS kembali cemerlang seperti biasa,” katanya ketika berucap pada perasmian Program Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Bersama Ketua Eksekutif IPTS (MyLeader) di Hotel Sama-Sama KLIA, Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Para tetamu turut bergambar semasa perasmian PROGRAM MyLEADER di Sepang, baru-baru ini

Dalam pada itu, Abdul Razak memaklumkan penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan Pemudahcara IPTS Sebagai Industri atau PEMUDAH IPTS juga merupakan salah satu usaha pihaknya membantu IPTS untuk bergerak maju serta berdaya saing.

Jelasnya, beliau berharap PEMUDAH IPTS dapat berfungsi dengan lebih berkesan untuk melaksanakan semua inisiatif yang telah dikenal pasti dengan kadar segera.

“Saya difahamkan, daripada 37 inisiatif yang dikenal pasti di bawah PEMUDAH IPTS, 14 daripadanya telah selesai dilaksanakan oleh setiap Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) pada tahun 2021 dan 2022.

“Walaupun inisiatif yang telah selesai masih di tahap rendah, saya percaya setiap TWG sedang berusaha untuk melaksanakan semua inisiatif yang telah dikenal pasti dan diselesaikan mengikut garis masa yang telah dirancang.

“Sehubungan itu, penganjuran program MyLeader pada hari ini merupakan program pembangunan kapasiti khusus kepada ketua eksekutif IPTS yang bertujuan untuk memperkukuhkan program kepimpinan bagi pentadbir IPTS yang meliputi elemen integriti dan tadbir urus organisasi,” ujarnya.

Abdul Razak turut berkongsi maklumat mengenai pelancaran Pelan Antirasuah Kementerian Pengajian Tinggi 2022-2026 pada 1 Jun lalu yang menggariskan tiga bidang keutamaan yang berkait rapat dengan perkhidmatan teras KPT iaitu Biasiswa; Pinjaman dan Penyelidikan; Integriti dan Tadbir Urus Organisasi serta Proses Perolehan dan Pengurusan Kewangan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Husaini Omar pula berkata, Ketua Eksekutif berperanan besar dalam menerajui kepimpinan pengurusan bagi sesebuah IPTS.

“Malaysia tidak mustahil mampu menjadi hub pendidikan tinggi yang boleh dicontohi dunia.

“Berdasarkan statistik pada 31 Disember 2021, 45 peratus pelajar antarabangsa di Malaysia berada di IPTS, oleh itu saya percaya IPTS merupakan salah satu laluan dan pemangkin utama ke arah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa.

“Selaras dengan ini, KPT telah melancarkan dua garis panduan iaitu Garis Panduan Amalan Terbaik Pengurusan Pelajar Antarabangsa Malaysia dan Garis Panduan Pelaksanaan Program Mobiliti di IPT Malaysia pada 29 September lalu, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan negara sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa,” tambahnya.

Artikel berkaitan

Senarai IPTA/IPTS terbaik negara dan jurusan popular masa kini

Tip langsai hutang PTPTN dalam masa singkat, graduan boleh cuba cara ini

Selamat menempuh cabaran baharu di universiti!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok