WhatsApp Image 2021-07-21 at 1.43.58 PM
WhatsApp Image 2021-07-21 at 1.43.58 PM

Pengalaman sambut Hari Raya Aidiladha di kolej

A
A
A

Sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini cukup berbeza apabila ada segelintir pelajar terpaksa menyambutnya di kolej disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Perasaan sayu yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata membuatkan mereka terpaksa akur demi meneruskan tanggungjawab sebagai pelajar.

Masalah capaian internet dan pelbagai kekangan yang dihadapi memaksa mereka untuk terus tinggal di kolej bagi menjalani proses pembelajaran secara Online Distance Learning (ODL).

Menurut pelajar Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Nurul Amira Che Azizan, 24, sambutan Aidiladha kali ini ternyata berbeza berbanding tahun sebelumnya.

Ini kerana, sambutan yang serba kekurangan ini membuatkan dirinya tidak dapat merasai dan menikmati suasana sambutan hari raya yang sebenar.

Kesibukan sebagai pelajar tahun akhir dalam mengejar tarikh-tarikh penting bagi menghantar tugasan yang diberikan pensyarah juga menjadi salah satu penyebab dia tidak dapat merasai keseronokan sambutan hari yang bermakna itu.

“Tahun ini merupakan kali pertama saya tidak dapat menyambut Hari Raya Aildiladha bersama keluarga di kampong dan diakui, menyambutnya di bilik kolej tidak sama seperti di rumah,” akuinya.

Nurul Amira memberitahu bahawa dirinya hanya dapat melakukan panggilan video pada pagi raya bersama keluarga dan menikmati sajian raya bersama-sama walaupun secara dalam talian.

Mengulas mengenai perasaannya di pagi hari raya, Nurul Amira mengatakan dia tidak menyangka akan menyambut Aidiladha tahun ini di kolej kediaman memandangkan dia tidak melakukan apa-apa persiapan termasuklah membawa baju raya semasa pulang ke kolej kediaman.

“Tidak dinafikan saya agak terkejut apabila melihat pelajar-pelajar lain memakai pakaian raya semasa mengambil makanan yang disediakan manakala saya hanya berbaju T-shirt,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, dia turut bersyukur kerana Ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) berusaha mewujudkan suasana hari raya dalam kalangan pelajar dengan melakukan beberapa persiapan seperti memasang takbir dan lagu raya serta menyediakan makanan seperti rendang ayam, nasi himpit, nasi hujan panas dan sebagainya.

Sempena Hari Raya Aidilahda tahun ini, pihak kolej berbesar hati menyediakan makanan tengah hari dan malam selama dua hari iaitu pada 20 dan 21 Julai 2021.

Sesi bergambar bersama rakan-rakan juga turut dibenarkan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh JPK kolej, UiTM, ini sangat memberi makna kepada para pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Pengalaman ini tidak dapat saya lupakan kerana ini akan menjadi kenangan yang paling berharga buat saya sepanjang bergelar seorang pelajar kolej,” tambahnya sebelum mengakhiri bicara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok