download (8)
download (8)

Pengamal Media antara graduan sulung Sarjana Kewartawanan Multimedia

Adlan Farhan Azwan
18 Mar 2022 12:54pm
A
A
A

SINTOK - Dua pengamal media Kedah berjaya menamatkan pengajian sebagai graduan sulung Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia pada Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu'adzam Shah.

Nurul Hidayah Hamid dan Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor merupakan wartawan di Sinar Harian dan telah menerima ijazah mereka yang disampaikan oleh Naib Canselor pada sesi pertama, Ahad lalu.

Hafiz berkata, dia bersyukur kerana impian untuk menggenggam ijazah sarjana terlaksana walaupun sibuk dengan kerja hakiki.

Baca juga

Graduan UUM bawa gambar arwah bapa masa konvo

Menjadi ibu kepada 4 anak dan bekerjaya sepenuh masa bukan alasan buat graduan ini raih keputusan cemerlang

Menurutnya, kerjaya sebagai pengamal media semakin mendapat saingan sengit oleh persekitaran semasa iaitu perkembangan teknologi digital seperti media sosial dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Justeru, katanya, dia perlu mendapatkan ilmu baharu untuk menyesuaikan bidang kerja dengan perkembangan teknologi semasa melalui pendidikan.

"Saya mengambil program Kewartawanan Multimedia demi perkembangan kerjaya memandangkan program ini memberi fokus kepada keperluan gabungan media masa kini yang melibatkan wartawan media cetak, media penyiaran dan banyak lagi.

"Asasnya seorang wartawan hari ini perlu tahu menulis, mengambil gambar dan video termasuk membuat siaran langsung di lokasi," katanya.

Hafiz berkata, dia tidak terlintas untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana meskipun kerapkali membuat liputan di UUM, bagaimanapun ia satu pengalaman menarik kerana dapat belajar dalam sebuah universiti persis taman dan dipenuhi kehijauan.

Berkongsi cabaran bergelar pelajar dan pada masa sama bekerja, Hafiz berkata, bekerja sambil belajar memang satu cabaran kerana perlu bijak menyusun masa antara kerjaya, pelajaran dan juga keluarga.

Ujarnya, dia perlu menyusun jadual sebaik mungkin kerana hujung minggu sudah ditetapkan untuk kelas pada Sabtu dan Ahad.

"Memang letih kerana tiada ruang rehat, namun saya bersyukur kerana majikan dan keluarga banyak membantu. Selama setahun lebih saya mengambil cuti tahunan/cuti luang rehat memang dihabiskan untuk kelas sahaja," kongsinya.

Antara graduan yang menunggu giliran untuk ke atas pentas ketika Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu'adzam Shah.

Sementara itu, Hidayah berkata, kejayaan menerima ijazah sarjana ini bukanlah atas usaha diri sendiri semata-mata, sebaliknya ia juga dicapai dengan adanya sokongan dan tunjuk ajar daripada pensyarah, ibu bapa, ahli keluarga, rakan serta pengurusan universiti.

Kongsinya, dia jatuh cinta pada panorama dan keindahan UUM ketika membuat liputan berita di universiti berkenaan atas urusan kerja.

Dari situ, katanya dia mula menanam azam sekiranya ada program pengajian berkaitan kewartawanan ditawarkan di UUM, maka dia tidak akan melepaskan peluang untuk melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi di sini.

"Selain itu, saya suka belajar perkara baharu selain didorong dengan kisah-kisah kejayaan bekas graduan yang tidak menjadikan usia lanjut sebagai halangan untuk sambung belajar.

"Bidang pengajian Kewartawanan Multimedia amat menarik, bukan hanya belajar tentang bidang kewartawanan, surat khabar atau televisyen semata-mata tetapi juga bidang yang lebih meluas dan mendalam misalnya berkaitan media baharu yang mana ia seiring dengan perkembangan teknologi terkini," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok 

Tambah Hidayah lagi, walaupun minat yang mendalam untuk belajar sehingga ke peringkat tinggi, tetapi cabaran tetap ada sebelum berjaya menamatkan pengajian.

Menurutnya, pada tahun akhir pengajian, dia diuji apabila bapanya, Hamid Hussain jatuh sakit sehingga terpaksa menggunakan tiub untuk makan dan minum.

"Saya perlu menjaga bapa yang sakit dan pada masa sama fokus untuk menyiapkan tugasan pengajian, selain perlu bekerja sebagai wartawan yang mempunyai masa kerja yang tidak menentu.

"Meskipun terpaksa mengharungi banyak kekangan dan cabaran, saya bersyukur kerana semua pensyarah yang mengajar sepanjang tempoh dua tahun berkenaan sangat memahami, bertimbang rasa, baik dan sedia membantu dalam pelajaran,"tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok