Pengerusi pasukan universiti berdepan cabaran perlawanan bola jaring fasa endemik
Pengerusi pasukan universiti berdepan cabaran perlawanan bola jaring fasa endemik

Pengerusi pasukan universiti berdepan cabaran perlawanan bola jaring fasa endemik

Rasyidah Zulkifi
24 May 2022 09:38am
A
A
A

Populariti sukan bola jaring tidak hanya terhad dalam kalangan murid-murid sekolah rendah dan menengah malah ia turut mendapat perhatian  pelajar-pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Ini kerana selain merupakan sukan berpasukan, bola jaring sememangnya pilihan ramai terutamanya golongan wanita.

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) antara IPT yang tidak ketinggalan mewujudkan kelab sukan bola jaring dalam kalangan mahasiswa untuk mencungkil bakat baharu yang bakal mewakili negara dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

Baca juga

Sukan bola jaring buka laluan kerjaya – Fazdlun

Nur Faizzatul dan Fatin Mahirah berbakat dalam bola jaring, harum nama sekolah dan daerah Johor

Menurut Pembantu Belia dan Sukan UPNM, Aliza Yahoo, 34, mereka tidak ketinggalan menubuhkan kelab bola jaring kerana mendapat permintaan tinggi di samping ia merupakan salah satu sukan yang popular dan terkenal. Tambahnya lagi, kelab tersebut telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2011.

Mengulas lanjut mengenai pembabitan UPNM dalam sukan tersebut, Aliza memberitahu dalam waktu terdekat mereka akan terlibat dengan sukan empat penjuru bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain itu, pelajar dan kakitangan UPNM juga terlibat dalam Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) yang akan berlangsung pada 12 hingga 21 Ogos depan.

“UPNM pernah menjadi johan, meraih pingat emas dalam Kejohanan Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) dan johan Sukan Asasi IPT 2020.

“Kami juga pernah mendapat tempat ketiga dalam bola jaring pantai dan tempat keempat pada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan IPT.

“Saya berharap tahun ini kami dapat memecahkan rekod, sekurang-kurangnya mendapat pingat gangsa” jelasnya.

Sementara itu, pengurus pasukan bola jaring UTM, Dayang Hafzlizawatie Datu Muhammar, 24, berkata pasukan bola jaring UTM telah ditubuhkan pada 1985 dan diletakkan di bawah pengurusan unit sukan.

Katanya lagi, UTM akan menyertai SUKIPT pada Ogos depan dan dijangkakan  bersaing dengan 22 IPT lain dari seluruh negara.

“Alhamdulillah, sepanjang kami aktif dan menyertai pelbagai pertandingan, kami berjaya mengekalkan tempat ketiga.

“Dalam masa yang sama, ramai atlet bola jaring UTM pernah mewakili sukan SEA seperti Puah Pei San, Nurfariha Abd Razak, Pow Mei Foong, Noor Azilah Aziz dan Khairunnisa Nazri,” kongsinya.

Tuturnya lagi, selain menyertai pertandingan luar, mereka tidak ketinggalan menganjurkan kejohanan dalaman yang diberi nama UTM Games.

“Penganjuran kejohanan ini adalah untuk memberi peluang kepada mahasiswa-mahasiswa yang datang dari pelbagai latar belakang menyertai sukan ini.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk mencungkil bakat terpendam pelajar dalam sukan terutamanya bola jaring.

“Dalam masa yang sama ia juga untuk menggalakkan mahasiswa aktif bersukan,” katanya.

Tidak mahu ketinggalan dalam memberikan saingan, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut menubuhkan pasukan bola jaring sendiri dan mula dikenali dengan nama UPM Firewolf pada 2012.

Pembantu Belia dan Sukan Kanan, yang juga Pengerusi Pembangunan Sukan Bola Jaring UPM, Nurul Wahida Latif berkata, objektif utama penubuhan UPM Firewolf ialah untuk membentuk satu pasukan yang mantap bagi menyertai kejohanan di peringkat IPT dan juga kejohanan terbuka.

“Bagi memastikan ahli pasukan yang terbaik dapat dipilih, proses mengenalpasti bakat atlet berkebolehan (talent scouting) akan dilakukan menerusi kerjasama dengan sekolah sukan sekali gus membantu atlet yang cemerlang sukan dan akademik untuk menyambung pengajian di peringkat universiti.

“Di peringkat UPM sendiri, kami juga menganjurkan Kejohanan Sukan Kolej (SUKOL) bagi mengenalpasti atlet berkebolehan supaya dapat menghasilkan bakat sukan yang mantap seterusnya mencapai kejayaan dalam semua kejohanan disertai,” jelasnya.

Terkini, pasukan bola jaring UPM mempunyai kekuatan seramai 22 orang atlet yang mana kesemuanya masih dalam tempoh pengajian dan berjaya mencipta beberapa kejayaan di peringkat universiti.

Antaranya menjadi johan pertandingan bola jaring Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2014, Liga IPT (2014, 2015 dan 2016), USM Open (2015, 2016 dan 2017) dan SUKIPT pada 2015 serta 2017.

Cabaran jalankan sukan bola jaring dalam fasa endemik 

Akibat berperang dengan wabak Covid-19 lebih dua tahun, segala aktiviti terutama sukan di IPT turut terganggu.

Ini disebabkan kerajaan melarang sebarang bentuk kegiatan secara bersemuka berlangsung termasuklah bersukan.

Ia bagi membendung pelajar IPT daripada terkena jangkitan dan dengan ini secara tidak langsung membuatkan pelajar-pelajar lebih memfokuskan akademik berbanding kokurikulum.

Itulah cabaran yang terpaksa dihadapi sesiapa sahaja termasuklah Aliza.

“Disebabkan kebanyakan atlet UPNM terdiri daripada pelajar-pelajar sukan, jadi kebanyakan aktiviti bersemuka tidak dapat dijalankan ketika wabak Covid-19 ‘menyerang’ negara.

“Situasi ini sedikit sebanyak menjejaskan waktu latihan dan pastinya ia mengganggu rutin harian sebelum ini,” tuturnya lagi.

Pada masa sama, Dayang Hafzlizawatie turut mengakui berdepan dengan cabaran di mana perlawanan persahabatan yang dirancang sebelum ini masih belum dapat dilaksanakan bagi menjamin keselamatan masing-masing.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Menurutnya, hari ini walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik, prosedur operasi standard (SOP) masih lagi diamalkan.

“Penting untuk memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman dengan betul untuk mengawal jangkitan.

“Peralatan bola jaring seperti bola dan lain-lain juga perlu sentiasa dibersihkan dan disanitasi dalam usaha mengawal jangkitan.

“Selain itu, ia turut memberi kesan serba sedikit di mana setiap atlet masih lagi perlu mengekalkan jarak bagi mengurangkan sentuhan badan semasa dalam latihan,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok