Untitled designPensyarah UM perkenal terapi ‘Protraction Headgear’, bantu kanak-kanak hadapi masalah rahang
Untitled designPensyarah UM perkenal terapi ‘Protraction Headgear’, bantu kanak-kanak hadapi masalah rahang

Pensyarah UM perkenal terapi ‘Protraction Headgear’, bantu kanak-kanak hadapi masalah rahang

Roshlawaty Md Raieh
20 Sep 2022 09:40am
A
A
A

Universiti Malaya (UM) melalui Fakulti Pergigian menawarkan rawatan ‘Protraction Headgear’ yang juga dikenali sebagai ‘Facemask’ atau ‘Reverse Headgear’ kepada mereka yang mempunyai masalah rahang bawah yang besar.

Pensyarah yang juga Pakar Ortodontik, Jabatan Pergigian Pediatrik & Ortodontik, Fakulti Pergigian, UM, Dr Lau May Nak berkata, terapi ‘Protraction Headgear’ adalah rawatan awal ortodontik untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun yang mengalami masalah rahang bawah yang besar dan mengakibatkan gigi kacip bawah tergigit di hadapan gigi kacip atas.

‘Protraction Headgear’ adalah satu alat yang dipasang di hadapan muka pada dahi dan dagu yang menyambung kesemua bahagian bingkai besi ini dan diikat dengan tali getah kepada pendakap gigi boleh tanggal atau tetap pada gigi rahang atas.

“Ia perlu dipakai sekurang-kurangnya 14 jam sehari pada waktu malam selama enam hingga 18 bulan.

“Semakin lama ia dipakai dalam sehari, proses rawatan akan berlaku dengan cepat,” ujarnya.

Kebelakangan ini, penyelidik-penyelidik di United Kingdom mendapati terapi ‘Protraction Headgear’ ini sangat berkesan dan mencatatkan 70 peratus kejayaan.

Lebih-lebih lagi apabila didapati hanya satu per tiga kanak-kanak yang menerima rawatan awal ini memerlukan rawatan pembedahan rahang masa dewasa untuk merawat masalah tulang rahang yang besar dan gigitan silang.

Sebaliknya, sebanyak dua per tiga kanak-kanak yang tidak menerima rawatan awal ‘Protraction Headgear’ memerlukan rawatan pembedahan rahang tersebut masa dewasa.

Dalam erti kata lain, risiko seseorang memerlukan rawatan pembedahan rahang adalah 3.5 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang tidak menerima rawatan awal ‘Protraction Headgear’.

Biasanya, sebelum terapi ini diperkenalkan, seseorang pesakit yang mengalami masalah rahang bawah besar akan disyorkan untuk menangguhkan rawatan ortodontik sehingga pertumbuhannya terhenti iaitu sekitar umur 16 hingga 17 tahun.

Walaupun masih belum diketahui umum, rawatan awal dengan ‘Protraction Headgear’ semakin popular hari ini kerana faedah tambahannya iaitu merawat gigitan dan posisi tulang rahang secara awal dan mengurangkan risiko pembedahan rahang pada masa hadapan.

Artikel berkaitan 

Kemahiran teknikal dan insaniah sama penting, doktor gigi perlu sentiasa belajar

Ini 6 tip yang perlu ada pada seorang doktor gigi!

Tak mahu jumpa doktor gigi! Ini cara mudah menangani rasa takut dalam kalangan murid


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok