061221-buletin ukm
061221-buletin ukm

Penyelidik UKM hasilkan Chippie Choc Cookies

webadmin
17 Dec 2021 05:12pm
A
A
A

BANGI - Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghasilkan biskut cip coklat untuk diet sihat, pilihan kepada golongan dewasa dan kanak-kanak sebagai kudap-kudapan.

Penyelidik yang juga pensyarah Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan UKM, Dr Nur Hana Hamzaid yang berpengalaman mengendalikan klinik dietetik dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas mendapati biskut cip coklat pilihan yang paling digemari oleh kanak-kanak.

Rentetan permasalahan itulah tercetusnya ilham untuk mencipta Chippie Choc Cookie yang merupakan biskut cip coklat yang menjadi transisi kepada diet lebih sihat.

Dr Nur Hana berkata, Chippie Choc Cookie merupakan biskut pertama di Malaysia yang memenuhi standard pelabelan bagi tinggi serat, bebas gluten dan bebas gula tetapi sangat enak serta sesuai dijadikan kudap-kudapan bagi golongan dewasa dan kanak-kanak.

Menurut beliau, penghasilan Chippie Choc Cookies melalui proses yang amat teliti dalam memenuhi hasrat industri di samping mengambil kira kepatuhan kepada standard bagi ketiga-tiga kriteria yang telah ditetapkan iaitu tinggi serat (> 6 gram serat/100 gram biskut), bebas gluten dan bebas gula (0.5 gram per 100 gram solid).

“Bagi mempelbagaikan pilihan rasa, biskut ini juga dikeluarkan dalam dua pilihan iaitu rendah gula (5 gram per 100 gram solid) dan kurang gula (25 peratus gula daripada resepi asal).

“Keistimewaan produk ini juga adalah diperbuat daripada tepung bebas gluten dan tinggi serat hasil formulasi Dr Hana’s FiberBlend,” katanya.

Bagi mengkomersialkan Chippie Choc Cookies, UKM melalui UKM Technology Sdn Bhd telah menandatangi Perjanjian Pelesenan Teknologi dengan MFaez Food Industries Sdn Bhd, baru-baru ini.

Menerusi perjanjian itu, MFaez Food Industries Sdn Bhd diberikan hak pelesenan untuk menghasilkan biskut Chippie Choc Cookies seterusnya memasarkan produk tersebut di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Penasihat MFaez Food Industries Sdn Bhd, Thaer Bujang berkata, projek yang dijalankan secara usaha sama  itu telah menghasilkan produk yang bermanfaat kepada semua individu, terutamanya kepada pengguna yang mengamalkan kawalan diet harian.

“Pengkomersialan produk Chippie Choc Cookies ini merupakan hasil kolaboratif bersama MFaez Food Industries Sdn Bhd dan menepati spesifikasi serta mendapat pengiktirafan persijilan Halal Jakim dan ‘Healthier Choice Logo’ atau HCL dari Kementerian Kesihatan (KKM),” ujarnya.

UKM berharap Chippie Choc Cookies menjadi pilihan yang tepat dan terbaik dalam diet seharian sebagai transisi amalan diet sihat segenap lapisan masyarakat Malaysia  seterusnya berupaya mengurangkan risiko yang berkaitan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok