4
4

PPT UITM Terus Prihatin Dalam Pemerkasaan Pendidikan Berkualiti (SDG 1 dan 2) Dalam Era Pandemik

webadmin
21 Sep 2021 11:52am
A
A
A

Pandemik Covid-19 merupakan satu cabaran global yang telah mengubah gaya hidup dan kebiasaan masyarakat dan memberi kesan terhadap sistem pendidikan tinggi di Malaysia. Pra Pengajian Tinggi(PPT) UiTM, Program Pra Diploma yang telah diwujudkan bagi membangunkan anak bangsa dalam segmen calon-calon yang tidak dapat tempat di IPTA juga turut berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran dalam mengadaptasi pembelajaran mengikut norma baharu ini. Pembelajaran melalui Open Distance Learning (ODL) ini telah dijalankan selama tiga semester iaitu bermula pada semester Feb -July 2020, Oktober -Februari 2021 dan Mac hingga Ogos 2021. Program yang berpusat di UiTM Shah Alam ini diketuai oleh Pengarahnya iaitu Prof. Madya Ts Dr. Aini Jaapar dan membabitkan di 14 buah kampus cawangan UiTM di seluruh negara.

Apa yang ingin ditekankan ialah, dalam keadaan krisis pandemic COVID-19, semua pihak dari pengurusan pusat, koordinator, pensyarah serta kumpulan pentadbiran Bahagian Hal Ehwal  Akademik  dan Antarabangsa  (BHEAA)  UiTM telah menyediakan pelbagai fleksibiliti serta kemudahan bagi membantu pelajar menangani cabaran teknikal, sosio-ekonomi mahupun emosi dalam meneruskan pengajian mereka.

Seiring dengan agenda program UiTM Prihatin yang telah dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada 24 September 2020 yang lalu, pelbagai inisiatif juga telah dijalankan oleh koordinator dan tenaga pengajar Program Pra Diploma PPT di seluruh kampus UiTM. UiTM Prihatin juga merupakan salah satu inisiatif proaktif universiti yang menjurus kepada Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Sustainable Development Goals-SDG), khususnya SDG 1 dan 2 yang bertujuan untuk memastikan tiada lagi kemiskinan dan kelaparan yang boleh menjejaskan pembangunan sosial, alam sekitar dan ekonomi negara.

Program ini telah mendapat bantuan dan sokongan pertama dari Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM yang telah memperuntukan sebanyak RM 145, 500 kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan di UiTM seluruh Malaysia untuk perbelanjaan melanjutkan pelajaran di peringkat pra diploma ini. Program PPT UiTM prihatin ini antara misi utamanya membantu pelajar dari sudut  intangible seperti bengkel motivasi dan kaunseling dan tangible antaranya program bantuan makanan(Food bank) dan wang saku, peranti dan sokongan alat pembelajaran pembelajaran. Susulan dari Program UiTM Prihatin tersebut sebanyak RM 63,950 telah berjaya dikumpulkan oleh pihak PPT sehingga ke hari ini.

YAPEIM adalah antara penyumbang utama untuk bantuan makanan termasuk bantuan dari kakitangan UiTM, syarikat-syarikat dan pengusaha restoran. Misi yang pertama telah dilaksanakan oleh PPT UiTM Selangor dengan usahasama dengan Yayasan Pembangunanan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan menganjurkan program Food Bank Siswa.. Sebanyak RM 8000 secara  keseluruhan  telah ditaja oleh YAPEIM.

PPT UiTM Penang adalah antara kampus program pra-diploma yang aktif terhadap program prihatin ini dalam menjaga kebajikan pelajar mereka semasa berhadapan dengan pandemik covid 19. Kampus ini melalui program Kami Prihatin 4.0 telah berjaya mengumpul dana sehingga RM 38,000 dalam bentuk wang tunai serta barangan keperluan harian. Seramai 350 penerima kurang berkemampuan di sekitar kawasan termasuk pelajar Pra-Diploma telah menerima bantuan ini. Sumbangan prihatin ini terus dijalankan semasa sambutan aidilfitri yang lalu dimana program ziarah serta penyampaian kotak aidilfitri telah dijalankan disekitar kawasan manakala penghantaran secara kurier telah disampaikan bagi yang berada di luar negeri. Pensyarah-pensyarah yang mengajar pada ketika itu juga telah membuat kunjungan ke kolej kediaman pelajar bagi penyampaian sumbangan berbentuk wang tunai serta baju makmal dan buku-buku terpakai.

PPT UiTM Kuala Pilah turut menyahut seruan PPT UiTM Prihatin dengan menganjurkan program Food Bank Siswa bermula pada 1 Februari 2021 sehingga 16 Februari 2021. Program ini melibatkan warga kampus dalam menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai. Hasil murni ini bertujuan bagi meringankan beban kewangan 31 orang pelajar Pra Diploma Sains yang mengikuti kuliah secara Open and Distance Learning (ODL) di dalam sepanjang sesi oktober 2020 – Februari 2021 yang lalu.

Penyerahan sumbangan bakul makanan dan duit raya PPT UiTM Prihatin 2.0 kepada para pelajar B40 Pra Pendidikan Tinggi UiTM cawangan Sabah turut dijalankan. Kunjungan ziarah dijalankan di sekitar Tawau manakala untuk pelajar yang berada di luar Tawau, wang telah dikreditkan dalam akaun masing-masing. UiTM Melaka dan Perlis juga turut melaksanakan inisiatif yang sama dengan menyediakan sumbangan makanan sedia untuk dimakan (ready to eat) kepada para pelajar yang berada di dalam kampus.

PPT UiTM Johor menerusi pelancaran UiTM PPT Prihatin cawangan mereka turut melancarkan Kempen Jom Ligan Pahala. Fokus utama kempen ini adalah memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti makanan, kaca mata,dan kalkulator . PPT UiTM Perak, Kelantan dan juga Terengganu juga turut memberikan sumbangan berupa hamper, baucher dan sumbangan dari Yapeim sebanyak RM 5000 kepada pelajar PPT yang berada di kolej kediaman.

Penggunaan alat teknologi atau gajet amat penting dalam menjayakan proses ODL ini. Kebanyakan pelajar Pra Diploma UiTM adalah terdiri dari golongan B40. Ada sebahagian pelajar-pelajar ini  mereka tidak mempunyai komputer riba dan telefon pintar. Justeru itu, PPT terus prihatin dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar ini. PPT UiTM Pahang telah tampil dan berjaya mendapat sumbangan dari orang persendirian berupa telefon pintar Realme model C3 berjumlah RM 7000 untuk tujuh orang pelajarnya beserta nilai kredit untuk kegunaan pembelajaran mereka dalam kempen PPT UiTM Prihatin di UiTM Kampus Jengka.

UiTM dibawah Pusat Jaringan ALUMNI Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam  juga telah memperkenalkan satu inisiatif program 1 Alumni 1 Laptop kepada warganya. Sehubungan dengan itu, PPT UiTM Pulau Pinang yang sentiasa aktif dengan kebajikan pelajar-pelajar telah mengambil ini berjaya membuat serahan sebanyak 32 komputer riba terpakai dalam masa yang singkat kepada mahasiswa B40.  Bukan itu sahaja, para pelajar turut  disumbangkan dengan nilai kredit data. PPT UiTM Sabah juga telah membuat inisiatif yang sama dengan menyumbangkan empat komputer riba kepada pelajarnya.

Selain dari bantuan fizikal, kempen PPT UiTM Prihatin pelajar Pra Diploma ini juga turut mendapat bimbingan berupa kaunseling dan motivasi. Unit PPT UiTM Pahang Kampus Jengka telah mengadakan satu forum bertajuk motivasi menghadapi peperiksaan pelajar PPT kepada 405 orang pelajarnya. Melalui kempen PPT UiTM Prihatin juga, PPT UiTM Mukah juga turut membuat inisiatif yang sangat berkesan secara atas talian yang melibatkan 36 orang pelajar Pra Diploma Sains bagi berkongsi tips-tips penting menghadapi peperiksaan termasuklah teknik pembelajaran berkesan serta kaedah menjawab soalan peperiksaan secara atas talian.. UiTM Kedah juga telah mengambil inisiatif kempen PPT UiTM Prihatin. Dalam program ini, bagi lebih menarik minat pelajar-pelajar dalam sesi perkongsian pembelajaran, pakar motivasi Pencetus Ummah (PU) Azman iaitu Juara program pencetus ummah musim kedua telah dijemput untuk sesi ramah mesra  pembelajaran.  Inisiatif Prihatin terus dijalankan yang mana PPT UiTM Kedah dengan unit kaunseling HEP telah membuat program selama empat minggu berturut-turut pada April yang lalu. Objektif program tersebut antaranya tentang personaliti diri, kerjaya dan kecenderungan serta motivasi dan persiapan pembelajaran semasa pandemic Covid 19. UiTM Perlis pula telah menjalankan bengkel kemahiran berkomunikasi dan juga program ‘Team Building’ kepada pelajar-pelajar yang masih tinggal dan berada di kolej. Majoriti pelajar PPT adalah terdiri daripada keluarga  B40, oleh itu kemahiran interpersonal adalah sangat penting dalam diri mereka terutamanya ketika berinteraksi dengan rakan-rakan, pensyarah dan orang awam. UiTM Sabah juga turut menjalankan program sesi pembangunan dan motivasi secara percuma kepada pelajar-pelajar PPT. Program PPT UiTM Pihatin yang dinamakan ‘Kopi-kopi bersama Koordinator PPT’ ini telah memberikan kesedaran kepada pelajar akan kepentingan ilmu, nilai-nilai murni dan mewujudkan kematangan pelajar yang berani dan berdaya intelek. UiTM Pulau Pinang,  Perak dan Terengganu juga turut memberikan inisiatif yang sama kepada pelajarnya dengan membuat perbincangan secara individu mengikut kelas dan kod bagi pencapaian akademik mereka. Tujuan utama program ini bagi memberikan nasihat dan motivasi kepada pelajar.

Perpustakaan UiTM (PTAR) juga turut membantu pelajar PPT dengan membuat program Library Outreach  bersama para pelajar. Antaranya program penerangan tentang perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak PTAR bagi memudahkan lagi proses pembelajaran secara online dijalankan di seluruh kampus.  PTAR UiTM Pulau Pinang dengan unit PPT juga turut membuat inisiatif dengan mengadakan pertandingan baca dan ‘selfie’ untuk menarik para pelajar membuat kunjungan ke gedung ilmu tersebut.  

Pengurusan PPT UiTM yang diterajui oleh pengarahnya juga turut membuat inisiatif kepada pelajar-pelajar Pra dalam memberi aspirasi dan motivasi belajar  dengan mengadakan julung pertama kalinya webinar bersama alumni. Webinar ini telah menjemput panel khas iaitu YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Abdul Kadir bin Hj. Rosline, Rektor UiTM Cawangan Sabah yang juga alumni Pra Diploma UiTM..  Usaha yang sangat murni ini telah dibuktikan oleh para pelajar dengan pencapaian akademik mereka yang mencatatkan keputusan yang baik iaitu 95% orang pelajar mendapat status Lulus Naik Taraf (LNT) di sepanjang sesi pembelajaran ODL ini. Pelajar-pelajar ini juga telah ditawarkan ke program penerapan diploma UiTM dalam pelbagai bidang. Pencapaian ini memberikan indikasi yang baik dalam memastikan setiap pelajar di bawah program PPT diberi peluang dan mampu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Semoga usaha-usaha yang telah dibuat oleh pihak PPT di semua peringkat dan kampus-kampus yang berkaitan dapat memudahkan urusan pembelajaran pelajar-pelajar di era pandemik covid 19 ini.

Program PPT UiTM Prihatin UiTM Perlis : Agihan makanan untuk semua pelajar PPT yang tinggal di kolej

Program Uitm Prihatin – Foodbank Yapeim 2.0 Ready To Eat PPT UiTM Selangor

Sesi ramah mesra YB Dato Noraini Ahmad bersama para pelajar PPT selepas tamat Majlis Pelancaran UiTM Prihatin

Majlis Pelancaran UiTM Prihatin 24 September 2020 Di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UitTM Shah Alam

Penulis:

-Ts Dr Wan Zuraida Wan Mohd Zain

-PM Ts Dr Aini Jaapar

Pejabat Pra Pengajian Tinggi UiTM Shah Alam

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok