Untitled design
Untitled design

PPV UTeM mula beroperasi, manfaatkan 2,500 penerima vaksin

webadmin
13 Aug 2021 10:10pm
A
A
A

Selari dengan aspirasi nasional, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut sama menyokong agenda kerajaan menjadi fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) institusi pengajian tinggi (IPT) yang mula beroperasi baru-baru ini di Kompleks Sukan, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Menurut kenyataan UTeM, program PPV UTeM adalah selari dengan usaha menyemarakkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam menyediakan akses untuk memudahkan rakyat mendapat vaksin.

Terdahulu, pelaksanaan PPV UTeM ini dikendalikan sepenuhnya dengan kerjasama bersepadu bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka.

Sepintas lalu, pada peringkat awal penyelarasan bersama PKD Alor Gajah dan JKN Melaka, mendapati fasiliti yang disediakan UTeM berupaya menjadi PPV bergerak dengan keupayaan pemberian vaksin kepada 600 orang setiap hari.

Pemberian vaksin ini diberikan keutamaan kepada warga UTeM yang melibatkan staf, pelajar dan pekerja bukan staf yang dianggarkan seramai 2,500 orang bagi mewujudkan imuniti kelompok di UTeM.

Operasi pemberian vaksin dos pertama di PPV UTeM ini dijalankan selama empat hari iaitu pada 11, 17, 18 dan 19 Ogos ini manakala dos kedua pula akan diadakan pada 21 hari selepas daripada tarikh suntikan dos pertama.

Sebelum ini, GPSBestari turut menyiarkan artikel berkenaan pembukaan PPV IPT di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Julai lalu.

Dewan Tuanku Canselor yang menjadi PPV IPT Mega USIM mempunyai kapasiti maksimum sebanyak 30 kaunter suntikan vaksin dengan 60 pemberi vaksin disediakan.

Secara purata sebanyak 300 hingga 400 vaksin mampu diberikan dalam masa satu jam apabila ia beroperasi dalam kapasiti maksima.

Sebagai PPV IPT Mega pertama yang beroperasi di Negeri Sembilan, ia menjadi lokasi utama bagi rakyat Negeri Sembilan khususnya yang berada di daerah Seremban.

Selain USIM, antara yang turut membuka PPV IPT adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Tidak ketinggalan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UAIM) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Puncak Alam.

Seterusnya membabitkan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah@IIUM (SASMEC @IIUM), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM (AMDI-USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok