Program anjuran universiti tempatan berjaya pupuk minat pelajar terhadap STEM
Program anjuran universiti tempatan berjaya pupuk minat pelajar terhadap STEM

Program anjuran universiti tempatan berjaya pupuk minat pelajar terhadap STEM

Roshlawaty Md Raieh
17 Jun 2022 08:41pm
A
A
A

Memupuk minat pelajar dalam jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu dilakukan secara komprehensif dan konsisten.

Hal ini kerana, tidak semua pelajar menyukai bidang STEM melainkan pelajar yang dilahirkan dengan perasaan minat semenjak daripada kecil lagi.

Sebagai usaha memperluaskan konsep dan memupuk minat terhadap STEM, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan program STEM ‘Bring Forward Technology To School 2022’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas, Melaka, baru-baru ini.

Program anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FTKMP) dengan kerjasama Makers@UTeM bertujuan memberi pendedahan teknologi terkini bidang kejuruteraan dalam era Revolusi Industri 4.0 kepada pelajar Tingkatan Lima sekolah tersebut.

Pengarah program, Mohammad Rafi Omar berkata, program tersebut dibentuk dengan formula khas dan ia memberi peluang dan pengalaman menarik kepada peserta.

“Menerusi ‘Bring Forward Technology To School 2022’ ini, pelajar SMK Nyalas dapat melihat dan merasai sendiri penggunaan teknologi terkini seperti 3D printer, kit sistem internet of Thing (IOT) dan prototaip yang dibawa khas dari UTeM kepada mereka.

“Di samping itu juga, pelajar berpeluang mendapatkan gambaran lebih jelas tentang bidang kejuruteraan dan laluan kerjaya sebagai jurutera,” katanya.

Sebahagian pelajar Tingkatan Lima SMK Nyalas melihat dan merasai sendiri penggunaan teknologi terkini dan prototaip yang dibawa khas dari UTeM kepada mereka.

Program ini yang telah dirasmikan oleh Penyelaras program dan Hub IoT, Pusat Kolaborasi Industri dan Masyarakat (PKIM) UTeM, Dr Mohd Nazmin Maslan turut menyampaikan hadiah kepada beberapa pelajar yang berjaya dalam pertandingan Sungai Kim Kim Clean Tech Competition anjuran PKIM UTeM.

Tidak ketinggalan, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Nyalas, Cikgu Kushairi Taib @ Kamarudin turut hadir pada majlis tersebut sebagai tanda sokongan pada program tersebut.

Berkongsi mengenai program menarik ini, Dr Mohd Nazmin berkata, objektifnya telah tercapai dan ia perlu diteruskan kepada semua pelajar.

“Dalam memastikan kita melahirkan pelajar holistik dan berfikiran kreatif, program-program sebegini wajar diadakan dari semasa ke semasa sebagai usaha melahirkan lebih ramai pencipta teknologi berbanding pengguna teknologi.

“Kerana itu, pihak terlibat seperti barisan Jurutera Pengajar FTKMP, pelatih Makers@UTeM dan pihak sekolah wajar mewujudkan kerjasama dan kata sepakat untuk terus menganjurkan program seperti ini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pelajar Tingkatan 5 yang juga peserta program, Nur Alleyah Najihah Mohd Rosli, berterima kasih kepada UTeM kerana berjaya menganjurkan program STEM ini.

“Program seperti ini adalah yang julung kali diadakan di sekolah. Ia berkonsep informatif dan praktikal serta memberi gambaran sebenar tentang bidang kejuruteraan dengan lebih mendalam,” katanya.

Artikel berkaitan 

Raih 10 pingat, UTeM menang besar di ITEX 2022

UTHM raih Anugerah Reka Bentuk Terbaik di Robocon Malaysia 2022

6 pelajar terima ‘laptop’, janji akan cemerlang dalam pengajian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok